Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kes Graham Hornigold dan Dionne: Penipuan Bertopeng Kasih Seorang Ibu


     Graham Hornigold, seorang chef pastri terkenal dari Britain tidak pernah menyangka hidupnya yang tenang akan berubah secara drastik selepas menerima satu e-mel yang mendakwa dirinya daripada seorang wanita bernama Dionne. Wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai ibu kandung Graham yang telah terpisah sejak lahir. Dalam e-mel tersebut, Dionne mendakwa dia sedang menghidap tumor otak dan kanser sumsum tulang dengan jangka hayat hanya tinggal enam bulan. Selain itu, Dionne turut mendakwa bahawa dia ialah anak tidak sah taraf kepada bekas Sultan Brunei dan Graham merupakan pewaris kepada harta kekayaan yang besar.

     Graham yang tersentuh hati dengan kisah itu menerima Dionne ke dalam hidupnya. Pertemuan semula antara anak dan ibu yang terpisah selama lebih 45 tahun itu kelihatan seperti satu keajaiban. Graham memperkenalkan Dionne kepada pasangannya iaitu Heather Kaniuk dan mereka mula menjalinkan hubungan kekeluargaan yang rapat. Namun tidak lama kemudian, sikap Dionne mula menimbulkan tanda tanya. Dionne mula meminta Graham menanggung perbelanjaan mewahnya termasuk penginapan hotel lima bintang, kereta mewah dan pelbagai keperluan lain. Setiap kali ditanya tentang sumber kewangannya, Dionne memberikan pelbagai alasan seperti kekayaan yang belum dapat diakses dan halangan akibat pandemik COVID-19.

     Akhirnya, Graham terpaksa menanggung hutang hampir £300 000 (sekitar RM1.7 juta) demi memenuhi segala kehendak Dionne. Heather yang semakin curiga dengan niat sebenar Dionne mula melakukan penyiasatan sendiri. Dia menemui pelbagai bukti yang meragukan termasuk sejarah jenayah Dionne yang panjang, sabitan penipuan sejak tahun 1982 serta penggunaan pelbagai identiti palsu. Graham turut menemui botol pewarna merah yang digunakan oleh Dionne untuk memalsukan simptom penyakitnya termasuk muntah berdarah yang dicipta semata-mata untuk menagih simpati.

     Walaupun semua bukti menunjukkan bahawa Dionne adalah seorang penipu bersiri, ujian DNA akhirnya mengesahkan bahawa dia memang ibu kandung Graham dengan kepastian 99.9%. Penemuan ini merumitkan keadaan kerana dari sudut undang-undang, tindakan Dionne tidak dapat diklasifikasikan sebagai penipuan sepenuhnya memandangkan dia adalah ibu kandung yang sah. Cuma dari sudut moral dan emosi, Graham berasa tertipu dan dikhianati dengan teruk.

     Akibat tekanan dan beban yang dihadapi, hubungan Graham dan Heather menjadi renggang. Heather akhirnya membuat keputusan untuk berpindah ke New Zealand bersama anak mereka, meninggalkan Graham yang masih terperangkap dalam kemelut emosi dan beban kewangan. Kes ini menjadi titik hitam dalam hidup Graham yang pada asalnya hanya mengimpikan kasih seorang ibu.

     Beberapa tahun selepas kejadian tersebut, Dionne ditahan di Singapura dan didakwa atas lima pertuduhan penipuan melibatkan lebih S$200 000 daripada tiga lelaki dari Singapura dan Perancis. Modus operandinya tetap sama di mana dia mendakwa dirinya sakit tenat dan memerlukan wang untuk rawatan serta urusan guaman. Jika didapati bersalah, Dionne berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda berat.

     Kisah mengejutkan ini telah mendapat perhatian dunia dan diangkat ke dalam bentuk dokumentari bertajuk "Con Mum: The Crime That Fooled the World" yang ditayangkan di Netflix pada Mac 2025. Dokumentari ini menyelami kisah sebenar penipuan Dionne melalui sudut pandang Graham sendiri dan individu sekelilingnya termasuk bukti-bukti eksklusif serta temubual yang membuka mata. Ia menjadi antara dokumentari yang tular kerana bukan sahaja membongkar kisah penipuan licik tetapi juga memperlihatkan konflik emosi yang amat mendalam antara kasih sayang, darah daging dan pengkhianatan.

Catat Ulasan for "Kes Graham Hornigold dan Dionne: Penipuan Bertopeng Kasih Seorang Ibu"