Kes Penculikan dan Pembunuhan Kejam Pai Hsiao-yen

Pada tahun 1997, Taiwan digegarkan oleh satu kes jenayah kejam yang bukan sahaja menyayat hati rakyatnya malah mencetuskan kemarahan dan kebangkitan awam yang luar biasa. Kes penculikan dan pembunuhan tragik seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, Pai Hsiao-yen menjadi salah satu episod hitam dalam sejarah jenayah Taiwan. Mangsa merupakan anak tunggal kepada artis terkenal Bai Bingbing iaitu seorang pelakon dan penyanyi terkenal yang sangat dikenali di kalangan masyarakat.
Pada pagi 21 April 1997, Pai Hsiao-yen meninggalkan rumah untuk ke sekolah seperti biasa. Namun dia tidak pernah sampai ke sekolahnya pada hari itu. Tidak lama selepas kehilangannya disedari, Bai Bingbing menerima satu panggilan telefon yang mengejutkan—anaknya telah diculik. Penculik menuntut wang tebusan sebanyak NT$5 juta (kira-kira RM700 000) dan memberi amaran keras bahawa Pai akan dicederakan atau dibunuh sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi. Keadaan menjadi lebih menakutkan apabila penculik mengutus sebahagian daripada jari kelingking kiri Hsiao-yen kepada keluarganya bersama nota ugutan. Tindakan kejam ini merupakan tekanan psikologi berat yang menyebabkan Bai Bingbing merayu kepada pihak berkuasa dan media untuk tidak mengganggu proses rundingan agar keselamatan anaknya terjamin.

Keadaan bagaimanapun menjadi semakin rumit apabila penculik sering mengubah lokasi dan arahan penyerahan wang sekaligus menjadikan urusan itu hampir mustahil untuk dilaksanakan. Pada masa yang sama, pihak polis menjalankan siasatan dan operasi besar-besaran untuk menjejak penculik tetapi segala usaha yang dilakukan tidak membuahkan hasil segera. Pihak polis turut menerima kritikan hebat daripada masyarakat kerana dianggap terlalu perlahan dan tidak efisien dalam menangani kes ini. Sementara rundingan dengan penculik berlangsung, Hsiao-yen dipercayai diseksa dengan kejam oleh penculiknya. Berdasarkan laporan forensik yang diperoleh kemudian, dia telah dipukul, dicederakan dengan objek tajam dan dipercayai dicuba untuk dilemaskan beberapa kali sebelum dibunuh.
Pada 28 April 1997 yakni lebih seminggu selepas diculik, mayat Pai Hsiao-yen ditemui dalam sebuah longkang berhampiran daerah Xizhi, Taipei. Mayatnya berada dalam keadaan hampir reput dengan kesan kecederaan teruk di seluruh tubuhnya. Pakaian sekolahnya masih dipakai dan identitinya disahkan melalui rekod perubatan serta analisis DNA. Penemuan ini mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan rakyat Taiwan. Ribuan rakyat turun ke jalanan untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kegagalan polis dan kerajaan dalam menyelamatkan nyawa seorang gadis remaja yang tidak berdosa. Ia turut mencetuskan debat nasional mengenai kelemahan sistem keselamatan, undang-undang jenayah berat dan hukuman terhadap pesalah.

Hasil siasatan pihak berkuasa kemudian membawa kepada penangkapan tiga orang suspek utama dalam kes ini. Mereka adalah Chen Chien-hsing, Lin Chun-sheng dan Chen Chin-hsiung. Mereka semua mempunyai rekod jenayah lampau termasuk rompakan bersenjata dan penculikan. Chen Chien-hsing dikenal pasti sebagai dalang utama yang merancang penculikan itu dengan teliti, menyasarkan anak seorang selebriti terkenal untuk memaksa keluarga membayar tebusan tinggi. Ketika dikejar pihak polis, kumpulan ini cuba melarikan diri ke luar bandar dan terlibat dalam beberapa insiden tembak-menembak. Dalam satu kejadian dramatik, Chen Chien-hsing menahan sebuah keluarga sebagai tebusan dan bersembunyi di rumah mereka selama beberapa hari. Perundingan yang panjang akhirnya memaksa dia menyerah diri.

Bb Ketiga-tiga penjenayah itu akhirnya ditangkap dan didakwa di mahkamah. Mereka dijatuhi hukuman mati atas jenayah kejam yang dilakukan. Chen Chien-hsing dihukum mati tidak lama selepas perbicaraan selesai manakala dua lagi turut menerima hukuman setimpal. Walau bagaimanapun, keadilan yang ditegakkan tidak mampu mengembalikan nyawa muda Pai Hsiao-yen. Ibunya, Bai Bingbing yang sebelum ini terkenal di pentas hiburan mula terlibat secara aktif dalam aktiviti sosial dan memperjuangkan keselamatan kanak-kanak serta reformasi undang-undang jenayah berat di Taiwan.
Catat Ulasan for "Kes Penculikan dan Pembunuhan Kejam Pai Hsiao-yen"