Kisah Anna Delvey: Pewaris Palsu yang Menipu Golongan Elit New York

Anna Sorokin atau lebih dikenali dengan nama Anna Delvey merupakan seorang wanita kelahiran Rusia yang berjaya menipu golongan elit di New York dengan berpura-pura menjadi pewaris kaya dari Jerman. Menerusi penampilan yang mewah dan gaya hidup yang tampak seperti dimiliki oleh golongan bangsawan, Anna memanipulasi ramai individu, hotel, dan institusi kewangan hingga menyebabkan kerugian yang mencecah ratusan ribu dolar.
Dilahirkan pada 23 Januari 1991 di Rusia, Anna berpindah ke Jerman bersama keluarganya pada usia 16 tahun. Bapanya bekerja sebagai pemandu lori dan kemudian mengusahakan perniagaan kecil dalam bidang pemanasan dan penghawa dingin. Kehidupan keluarga Anna jauh berbeza dengan gambaran mewah yang akan dia tonjolkan selepas berpindah ke New York. Selepas tamat pengajian di Jerman, Anna melanjutkan pengajian dalam bidang fesyen di Central Saint Martins di London tetapi tidak menghabiskan pengajiannya. Dia kemudian bekerja sebagai pelatih di majalah Purple di Paris yakni tempat dia mula membina identiti palsunya sebagai pewaris kaya.

Pada tahun 2013, Anna berpindah ke New York dan dengan cepat membina rangkaian sosialnya di kalangan golongan elit. Dia mendakwa dirinya sebagai seorang pewaris kaya dari Jerman yang mempunyai aset lebih dari $60 juta. Penampilannya yang mewah selain mempunyai keyakinan tinggi, Anna berjaya menipu banyak orang dan memperoleh akses ke dunia eksklusif yang tidak sepatutnya dicapainya. Salah satu taktik utamanya adalah menginap di hotel-hotel lima bintang seperti 11 Howard dan The Beekman tanpa membayar bil dengan alasan pembayaran akan dilakukan melalui bank antarabangsa. Anna juga menghadiri majlis sosial eksklusif dan berkawan dengan selebriti serta ahli perniagaan ternama untuk mengukuhkan imejnya sebagai seseorang yang benar-benar kaya.
Selain itu, Anna sering meminjam wang daripada kenalan dengan alasan kad kreditnya tersekat atau dia sedang menunggu pemindahan wang dari luar negara. Ramai yang mempercayai Anna kerana gaya hidupnya yang kelihatan sangat mewah dan mengesankan. Salah satu penipuannya yang terbesar adalah percubaan untuk mendapatkan pinjaman sebanyak $22 juta untuk menubuhkan Anna Delvey Foundation, sebuah kelab seni eksklusif di New York. Anna menggunakan dokumen palsu untuk meyakinkan pihak bank bahawa dia memiliki aset bernilai di luar negara. Dalam beberapa kes lain, dia juga menipu bank dengan memasukkan cek kosong ke dalam akaunnya dan mengeluarkan wang tunai sebelum cek tersebut ditolak.
Penipuan Anna akhirnya terbongkar pada tahun 2017 apabila beberapa individu dan pihak hotel mula menyedari bahawa dia tidak membayar hutangnya. Salah seorang mangsanya adalah Rachel DeLoache Williams, seorang wartawan Vanity Fair yang turut menjadi bekas rakannya. Rachel mendakwa bahawa dia telah ditipu sebanyak $62 000 selepas mereka bercuti bersama di Maghribi di mana Anna berjanji untuk menanggung kos percutian itu tetapi akhirnya meninggalkan Rachel untuk membayar segala perbelanjaan.
Rachel yang berasa tertipu akhirnya melaporkan kejadian ini kepada pihak berkuasa dan bekerjasama dengan Jabatan Polis New York (NYPD) serta Pejabat Peguam Daerah Manhattan untuk memasang perangkap bagi menangkap Anna. Salah satu langkah yang diambil adalah meminta Rachel untuk menghubungi Anna dan berpura-pura ingin bertemu untuk menyelesaikan masalah mereka. Rachel menggunakan alasan untuk berbaik semula dan menawarkan bantuan kewangan kepada Anna yang ketika itu dilaporkan menghadapi masalah kewangan. Pihak polis menyusun strategi untuk menangkap Anna selepas dia keluar dari pusat pemulihan yang dia sedang tinggal dengan berpura-pura bahawa mereka akan bertemu di luar pusat pemulihan tersebut. Pada akhirnya, Anna ditahan oleh pihak berkuasa tanpa sebarang insiden besar.

Pada tahun 2019, Anna dibicarakan di mahkamah atas beberapa pertuduhan penipuan termasuk pencurian besar dan percubaan penipuan ke atas individu serta institusi kewangan. Pendakwa raya mendakwa bahawa dia menyebabkan kerugian lebih dari $275 000 kepada pelbagai pihak. Sepanjang perbicaraan, Anna terus mengekalkan imej mewahnya dan menarik perhatian media dengan gaya fesyennya yang eksklusif. Dia akhirnya disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 4 hingga 12 tahun serta denda sebanyak $24 000 selain diarahkan membayar pampasan kepada mangsa-mangsanya.
Selepas dibebaskan lebih awal pada tahun 2021 kerana berkelakuan baik, Anna ditahan semula oleh pihak imigresen Amerika Syarikat kerana tinggal di negara tersebut tanpa izin sah. Kesnya terus menjadi fenomena budaya pop dan Netflix menghasilkan siri Inventing Anna yang mengisahkan tentang kehidupannya. Anna juga mendapatkan bayaran untuk hak penceritaannya walaupun dia telah menjalani hukuman penjara.
Catat Ulasan for "Kisah Anna Delvey: Pewaris Palsu yang Menipu Golongan Elit New York"