Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Benar: Michael dan Sean McQuilken – Detik Sebelum Petir Menyambar


     Kejadian ini berlaku pada 20 Ogos 1975, di Moro Rock, sebuah batu granit besar yang terletak di Taman Negara Sequoia, California, Amerika Syarikat. Moro Rock merupakan destinasi pelancongan yang popular kerana kedudukannya yang tinggi yakni sekitar 2,050 meter dari paras laut selain menawarkan pemandangan menakjubkan pergunungan dan hutan sekeliling. Laluan ke puncaknya disediakan dengan tangga konkrit membolehkan pengunjung berjalan kaki ke atas dengan mudah tetapi kawasan tersebut tetap terdedah kepada unsur cuaca yang ekstrem.

     Hari itu, cuaca pada awalnya tampak tenang. Michael McQuilken yang berumur 18 tahun dan adiknya Sean yang baru 12 tahun mendaki ke puncak Moro Rock bersama ibu, adik perempuan dan seorang rakan mereka. Seperti pelancong lain, mereka menikmati keindahan alam dan mengambil gambar kenangan. Namun menjelang tengah hari, awan kumulonimbus mula terbentuk di langit iaitu awan yang biasa dikaitkan dengan ribut petir dan kilat.

     Sewaktu mereka berada di puncak, Michael menyedari sesuatu pelik di mana rambutnya tiba-tiba berdiri tegak. Tak lama kemudian, Sean juga mengalami perkara yang sama. Mereka ketawa melihat keanehan itu. Tidak memahami maksud sebenar fenomena tersebut, mereka menganggapnya sebagai satu detik lucu dan mengambil gambar bersama. Dalam gambar yang kemudiannya menjadi terkenal, mereka berdiri tersenyum dengan rambut mencanak naik seolah-olah dicucuk elektrik statik.

     Apa yang mereka tidak tahu ketika itu ialah bahawa rambut yang berdiri secara tiba-tiba di kawasan tinggi menandakan arus elektrik sedang terbentuk antara bumi dan awan ribut di atas. Dalam istilah meteorologi, ia dipanggil “medan elektrik meningkat” dan ini biasanya berlaku sebelum kilat menyambar. Medan ini cukup kuat untuk mengionkan udara, menghasilkan cas positif pada permukaan badan manusia yang menyebabkan rambut tegak secara semula jadi.

     Kajian oleh National Weather Service (NWS) menyatakan bahawa jika seseorang berada dalam kawasan seperti ini dan merasai rambutnya berdiri atau mendengar bunyi buzzing (dengungan elektrik) itu merupakan saat kritikal terakhir untuk menyelamatkan diri sebelum sambaran petir berlaku.

     Beberapa minit selepas gambar tersebut diambil, kilat menyambar tepat di kawasan puncak Moro Rock. Michael menyatakan bahawa dia berasa dirinya terangkat dari tanah seperti diangkat oleh satu tenaga kuat manakala Sean tercampak ke belakang dan tidak sedarkan diri. Menurut saksi kejadian, asap keluar dari belakang badan Sean dan dari sikunya, menunjukkan kecederaan akibat arus elektrik tinggi yang melalui tubuhnya.

     Sean mengalami luka bakar darjah ketiga. Walaupun dia terselamat, kesannya sangat serius baik dari segi fizikal mahupun psikologi. Michael juga mengalami kecederaan tetapi tidak separah adiknya. Malangnya, seorang lelaki lain yang berada di puncak ketika itu tidak terselamat di mana dia telah meninggal dunia akibat sambaran yang sama.

     Menurut rekod dari Lightning Safety Institute, arus petir boleh mencapai 30 000 ampere, suhu sambaran mencecah 27 000°C dan boleh menyebabkan kecederaan kekal atau kematian serta-merta dalam masa milisaat.

     Setelah insiden itu, kedua-dua adik-beradik dikejarkan untuk rawatan kecemasan. Mereka mengambil masa yang lama untuk pulih secara fizikal dan emosi. Gambar mereka dengan rambut berdiri sebelum disambar kilat tersebar secara meluas bertahun-tahun kemudian dan digunakan dalam banyak buku teks, artikel saintifik dan poster kempen keselamatan sebagai amaran tentang bahayanya ribut petir.

     Michael kemudian pernah ditemu bual dan menyatakan kekesalannya kerana tidak memahami tanda-tanda awal sambaran petir. Dia berkata, "Jika saya tahu rambut berdiri itu tanda amaran terakhir, saya pasti sudah melarikan diri dari tempat itu serta-merta."

Catat Ulasan for "Kisah Benar: Michael dan Sean McQuilken – Detik Sebelum Petir Menyambar"