Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Carl Emil Pettersson: Raja Putih dari Tabar


     Carl Emil Pettersson merupakan seorang lelaki Sweden yang namanya mungkin tidak begitu terkenal dalam sejarah dunia tetapi kisah hidupnya adalah antara yang paling unik dan luar biasa pada zamannya. Dilahirkan pada tahun 1875 di Sweden, Carl membesar sebagai seorang anak pelaut di maba dia menempuh kehidupan keras di lautan dan berkelana ke serata dunia. Seawal usia mudanya, Carl bekerja sebagai kelasi kapal Jerman bernama Herzog Johan Albrecht, sebuah kapal perdagangan yang sering belayar di perairan Pasifik Selatan.

     Pada tahun 1898 yakni ketika Carl berusia 23 tahun, kehidupannya berubah secara dramatik. Kapal yang dinaikinya karam berhampiran Pulau Tabar, sebuah gugusan pulau terpencil di utara Papua New Guinea. Dalam keadaan cemas dan bergelut dengan ombak, Carl berenang ke pantai untuk menyelamatkan diri. Namun cabaran sebenar baru bermula apabila dia disambut oleh penduduk asli Tabar. Pada masa itu, bangsa asing jarang sekali kelihatan di pulau tersebut apatah lagi seorang lelaki kulit putih dengan tubuh yang besar dan rupa paras yang berbeza daripada mereka.

     Pada mulanya, penduduk Tabar merancang untuk membunuh Carl kerana menganggapnya ancaman. Walau bagaimanapun, sikap Carl yang tenang, sopan dan tidak menunjukkan kekerasan berjaya mengubah pandangan mereka. Malah ada yang percaya bahawa ketua suku sendiri melihat kehadiran Carl sebagai satu petanda baik daripada roh nenek moyang mereka. Tidak lama kemudian, Carl diterima masuk ke dalam komuniti itu. Sebagai bukti penerimaan mereka, Carl ditawarkan untuk mengahwini Puteri Singdo, anak perempuan ketua suku tersebut.

     Perkahwinan Carl dengan Singdo bukan sahaja menyelamatkan nyawanya malah membuka lembaran baru dalam kehidupannya. Dia diserap sepenuhnya ke dalam kehidupan suku Tabar dan hidup harmoni dengan mereka. Setelah kematian bapa mentuanya, Carl diangkat menjadi raja atau ketua suku yang sah, satu kedudukan yang jarang sekali diberikan kepada orang luar. Dalam peranannya sebagai pemimpin, Carl berjaya menggabungkan beberapa teknik dan pengetahuan Barat dalam sistem pentadbiran kampung itu tanpa mengabaikan adat resam setempat.

     Kehidupan Carl di Tabar berlangsung dengan cukup makmur. Selain memimpin, dia turut menjalankan aktiviti ekonomi, terutamanya dalam perdagangan kopra (kelapa kering). Kekayaan hasil pertanian dan perdagangan membolehkan dia membina kehidupan yang selesa bersama Singdo dan anak-anak mereka. Carl juga pernah beberapa kali kembali ke Sweden dengan membawa anak-anaknya untuk bertemu keluarganya di Eropah tetapi akhirnya dia tetap memilih untuk kembali ke Tabar, pulau yang kini dianggap sebagai tanah airnya.

     Kehidupan bahagia Carl tidak kekal lama. Kematian Singdo pada awal tahun 1930-an menjadi tamparan hebat kepada Carl. Tanpa isterinya di sisi, dia mula kehilangan arah. Tambahan pula, keadaan ekonomi dunia ketika itu mengalami kejatuhan besar akibat Kemelesetan Besar (The Great Depression). Harga komoditi termasuk kelapa merosot teruk, menyebabkan banyak perusahaan kecil muflis, termasuk ladang-ladang Carl. Kekayaannya semakin merosot dan dia terpaksa berpindah ke pulau berdekatan, New Ireland untuk memulakan perniagaan baru.

     Di New Ireland, Carl berusaha untuk membina semula hidupnya, tetapi nasib tidak lagi menyebelahinya. Kehilangan isteri, tekanan hidup serta masalah kewangan membebankan tubuhnya yang semakin tua dan uzur. Pada tahun 1937, Carl Emil Pettersson meninggal dunia di New Ireland dalam keadaan yang penuh tanda tanya. Walaupun laporan rasmi menyatakan dia meninggal dunia akibat penyakit biasa seperti demam malaria atau masalah pernafasan, terdapat cerita-cerita misteri yang berlegar dalam kalangan penduduk tempatan. Ada yang mendakwa Carl sebenarnya telah diracun. Teori ini timbul kerana Carl walaupun dalam keadaan tertekan masih kelihatan sihat beberapa hari sebelum kematiannya. Kisah lisan menyebut bahawa Carl menghadiri satu jamuan bersama beberapa pedagang Eropah dan ketua tempatan. Selepas jamuan itu, dia mengadu rasa lemah luar biasa sebelum jatuh sakit dan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

     Ada yang percaya bahawa faktor cemburu dan persaingan perniagaan menjadi punca. Carl, walaupun tidak lagi sekaya dahulu masih dianggap pesaing oleh pedagang lain. Tambahan pula, ada ketua-ketua tempatan yang mungkin tidak senang dengan kedudukan seorang lelaki asing yang pernah menjadi pemimpin berpengaruh di kawasan mereka. Tiada siasatan rasmi dilakukan untuk mengesahkan dakwaan tersebut, dan misteri di sebalik kematian Carl Emil Pettersson terus kekal hingga ke hari ini.

Catat Ulasan for "Kisah Carl Emil Pettersson: Raja Putih dari Tabar"