Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Gavin Joseph: Belas Kasihan Seorang Remaja Autisme

     Pada tahun 2015 , sebuah kisah menyayat hati telah berlaku di sebuah bandar kecil di Illinois, Amerika Syarikat. Kisah ini melibatkan seorang remaja lelaki bernama Gavin Joseph, berusia 18 tahun yang menjadi mangsa buli fizikal hanya kerana dirinya dilihat “berbeza”. Gavin bukanlah remaja biasa. Dia menghidap Asperger’s Syndrome, satu spektrum autisme yang mempengaruhi cara seseorang berinteraksi secara sosial serta Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) yang menjadikan tumpuan dan kawalan emosi sering terganggu. Dua keadaan ini menjadikan Gavin dilihat sebagai seorang yang pelik dan tidak pandai bersosial.

     Walaupun begitu, Gavin tidak pernah meminta simpati. Dia menjalani hidup seperti biasa dengan mencuba untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat remaja sebayanya meskipun sering disisihkan dan diperlekehkan. Gavin suka mendiamkan diri, berfikir dalam cara yang unik dan sering kelihatan berkelakuan ‘luar biasa’ di mata orang lain. Sikapnya yang tidak memandang mata ketika bercakap, cara berjalan yang ganjil dan pilihan pakaian yang tidak mengikut trend menjadikannya sasaran mudah untuk buli.

     Kejadian menyedihkan berlaku apabila sekumpulan remaja lelaki berpakat untuk memerangkap Gavin. Mereka mengajak Gavin keluar dengan alasan mahu berkenalan dan melepak bersama. Dalam hati kecil Gavin, itu merupakan satu peluang untuk merasai bahawa mungkin ada juga orang yang sudi berkawan dengannya. Namun setibanya di tempat yang dijanjikan, dia telah dikepung dan diserang tanpa sebarang amaran. Gavin ditumbuk bertubi-tubi, ditendang, dihentak ke tanah dan dibiarkan dengan kecederaan yang serius. Wajahnya lebam teruk, bibirnya pecah dan bahagian kepalanya mengalami lebam yang menyakitkan.

     Apa yang paling menyayat hati, alasan di sebalik serangan itu hanyalah kerana Gavin dianggap “menyeramkan” dan “pelik”. Remaja-remaja itu mempersendakan kelakuannya, caranya bercakap dan gaya hidupnya yang berlainan. Mereka tidak tahu, atau tidak mahu tahu bahawa Gavin sebenarnya menghidap kondisi neurologi yang menjadikan dunia tidak semudah itu untuknya. Bagi mereka, Gavin hanyalah seorang budak yang ‘ganjil’ dan ‘menjengkelkan’.

     Selepas kejadian itu, ramai menyangka keluarga Gavin akan membawa kes ini ke mahkamah. Malah, tindakan undang-undang adalah perkara yang paling logik dan wajar untuk membela nasib seorang remaja yang telah dianiaya sebegitu rupa. Namun sesuatu yang luar biasa telah berlaku di mana Ibu Gavin membuat keputusan yang mengejutkan semua. Mereka memilih untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap penyerang tersebut. Gavin sendiri sebaliknya mengambil pendekatan yang lebih berani, lebih matang dan jauh lebih besar daripada dendam. Dia memilih untuk memberi peluang kepada mereka untuk belajar dan memahami.

     Sebagai syarat pengampunan, Gavin menetapkan tiga perkara utama kepada penyerangnya. Pertama, mereka harus menonton satu video berdurasi 20 minit yang dihasilkan oleh Gavin sendiri yang menceritakan tentang siapa dirinya, bagaimana Asperger’s Syndrome dan ADHD mempengaruhi kehidupannya dan bagaimana dia sering disalah anggap oleh orang ramai. Dalam video itu, Gavin berkongsi pandangannya tentang dunia, tentang rasa kecewa apabila tidak difahami dan tentang harapannya untuk diterima seadanya.

     Syarat kedua pula, para penyerang perlu menulis esei refleksi tentang apa yang mereka pelajari daripada video tersebut serta bagaimana mereka melihat semula tindakan mereka terhadap Gavin. Tujuan utama syarat ini adalah untuk memastikan mereka benar-benar merenung dan memahami kesan perbuatan mereka terhadap seorang insan yang tidak bersalah. Syarat ketiga, mereka diwajibkan untuk menjalani kerja sukarela dengan organisasi yang menjaga dan membimbing golongan istimewa seperti Gavin supaya mereka dapat berinteraksi sendiri dengan individu-individu seperti itu dan menilai kembali persepsi mereka.

     Pendekatan ini menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ada yang kagum, ada juga yang skeptikal. Namun secara keseluruhan, tindakan Gavin dipuji sebagai satu contoh keberanian, kematangan, dan empati yang luar biasa lebih-lebih lagi datang daripada seorang remaja yang baru berusia 18 tahun. Ibu Gavin kemudian memuat naik gambar wajah Gavin yang lebam serta penjelasan tentang keputusan mereka ke laman Facebook. Tidak disangka, perkongsian itu menjadi viral dan mendapat perhatian daripada ribuan pengguna internet, termasuk pihak media, aktivis autisme dan pakar psikologi.

     Ramai netizen yang mengakui bahawa kisah ini membuka mata mereka terhadap realiti hidup individu autistik. Mereka sedar bahawa bukan semua orang yang kelihatan “lain” itu bermasalah. Ada antara mereka yang hanya mahu difahami, mahu diterima dan mahu diberikan ruang untuk menjadi diri sendiri.

Catat Ulasan for "Kisah Gavin Joseph: Belas Kasihan Seorang Remaja Autisme"