Kisah Isakin Drabbad : Kanibal dari Skara

Isakin Daniel Jonsson yang kemudian menukar namanya kepada Isakin Drabbad merupakan nama yang mencetuskan ngeri dan jijik di Sweden dan luar negara. Dilabel sebagai "Kanibal dari Skara", Jonsson telah melakukan pembunuhan paling kejam dalam sejarah jenayah moden Sweden.
Jonsson dilahirkan pada tahun 1981 di Sweden dan membesar dalam persekitaran yang dilaporkan tidak stabil. Sejak usia remaja, dia telah menunjukkan tanda-tanda gangguan mental serius termasuk psikosis dan masalah pengawalan emosi. Menurut rekod psikiatri, Jonsson pernah dirawat dalam beberapa institusi mental dan menunjukkan kecenderungan ganas tetapi akhirnya dilepaskan ke masyarakat selepas dianggap “cukup stabil”.

Dia kemudiannya bertemu Helle Christensen iaitu seorang wanita dari Denmark yang juga merupakan pesakit mental. Mereka berdua bertemu di hospital psikiatri dan mula menjalin hubungan cinta. Pasangan ini berpindah ke sebuah flat kecil di bandar Skara, Sweden di mana mereka menghabiskan masa dengan mengasingkan diri dari dunia luar untukmenghisap ganja.
Pada 1 Ogos 2010 yakni ketika di bawah pengaruh dadah dan dalam keadaan psikotik, Jonsson membunuh Helle Christensen dengan kejam. Selepas membunuhnya, dia memenggal kepala mangsa, membelah dadanya dan mengeluarkan otaknya. Dalam satu perbuatan yang amat tidak dapat diterima akal, Jonsson mencampurkan otak Helle dengan ganja kemudian memasaknya di dapur dan memakannya. Dia menyatakan bahawa tindakan itu memberinya “rasa puas yang tidak dapat digambarkan” dan bahawa suara-suara dalam kepalanya yang menyuruhnya melakukan perbuatan itu. Jonsson juga mengambil gambar setiap peringkat jenayah tersebut termasuk ketika memakan otak mangsa,dan memuat naiknya ke internet serta menghantarnya kepada seorang rakan sebagai bentuk pengakuan. Gambar-gambar ini kemudiannya tersebar di laman-laman forum gelap.

Polis menahan Jonsson tanpa tentangan di tempat kejadian dan dia dengan tenang mengaku apa yang telah berlaku. Ketika siasatan, Jonsson dilaporkan memberi kerjasama penuh dan memperincikan segala perbuatannya. Melalui pemeriksaan forensik, pakar mengesahkan terdapat sisa ganja dan cebisan tisu otak manusia dalam perutnya. Hasil pemeriksaan psikiatri menunjukkan bahawa Jonsson menghidap skizofrenia paranoid dan berada dalam keadaan psikotik aktif semasa kejadian. Mahkamah memutuskan bahawa Jonsson tidak bertanggungjawab dari segi jenayah dan dia dihantar ke Institut Forensik Psikiatri Vaxjo untuk rawatan di bawah pengawasan maksimum.
Di dalam institusi itu, Jonsson menunjukkan kelakuan yang kadang kala tenang dan kooperatif namun sesekali masih menunjukkan corak pemikiran psikotik dan narsisistik. Jonsson dilaporkan beberapa kali cuba menjalin hubungan romantik dengan banduan wanita lain dan dalam satu kes, dia bertunang dengan wanita yang juga pesalah jenayah yang menghidap masalah mental. Media Sweden menyiarkan berita itu secara besar-besaran sekaligus mencetuskan kemarahan umum terhadap sistem yang dilihat terlalu longgar terhadap individu berisiko tinggi.

Dalam satu wawancara kontroversi yang diberikan kepada media dari dalam institusi, Jonsson menyatakan bahawa dia “tidak menyesal” sepenuhnya atas apa yang berlaku, dan menyifatkan dirinya sebagai “orang yang dilahirkan untuk membunuh.” Jonsson turut memberitahu bahawa dia meminati filem-filem pembunuh bersiri seperti Silence of the Lambs dan meminati karakter Hannibal Lecter. Fakta ini menguatkan teori bahawa obsesi terhadap budaya pop mungkin turut mencetuskan tindakan ganasnya.
Selepas beberapa tahun, Jonsson menukar namanya kepada Isakin Drabbad. "Drabbad" dalam bahasa Sweden membawa maksud "ditimpa malapetaka". Ramai melihat tindakan ini sebagai satu bentuk playing victim yakni cubaan menjadikan dirinya sebagai mangsa keadaan walaupun dialah pelaku jenayah paling kejam dalam sejarah moden Sweden.
Catat Ulasan for "Kisah Isakin Drabbad : Kanibal dari Skara"