Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Lelaki Tua yang Merompak Bank Demi Isterinya, Bukan Wang

     Pada usia 70 tahun, kebanyakan orang mungkin sudah bersara. Ada yang suka menghabiskan masa di rumah, mungkin menanam pokok bunga, membela kucing atau sekadar duduk di kerusi malas sambil menonton televisyen. Namun bagi Lawrence John Ripple, hidup di usia senja tidak seindah itu.

     Lawrence bukan seorang penjenayah tegar. Tiada rekod jenayah dab tiada juga sejarah kelakuan ganas. Dia hanyalah seorang lelaki tua biasa yang tinggal bersama isterinya di Kansas City, Missouri. Namun pada suatu hari yang malang pada tahun 2017, dia melangkah masuk ke sebuah bank dengan sehelai kertas kecil di tangan.Kertas itu bukan nota cinta, bukan juga cek. Ia adalah nota ugutan.

     “Saya ada pistol. Berikan saya wang.”

     Juruwang di bank itu seperti yang dijangka, tidak melawan. Dengan wajah tenang tetapi cemas, dia menyerahkan sejumlah wang tunai kepada Ripple. Cuma apa yang berlaku selepas itu langsung tidak masuk akal bagi sesiapa yang melihat. Lawrence tidak melarikan diri. Dia tidak bersembunyi, tidak memakai topeng, tidak juga cuba menghilangkan jejak. Lawrence sebaliknya duduk di sebuah bangku di lobi bank, menunggu polis datang.

     Apabila pegawai polis tiba, Lawrence menyerah diri tanpa sebarang aksi melawan. Ketika disoal siasat, dia berkata sesuatu yang mengejutkan. 

     “Saya lebih rela duduk di penjara daripada tinggal di rumah bersama isteri saya.”

     Kenyataan itu menjadi tajuk utama berita keesokan harinya. Cuma di sebalik kata-kata kasar itu, tersembunyi satu kisah yang menyayat hati. Lawrence sebenarnya sedang tertekan.

     Isterinya sakit dengan keadaan kesihatannya semakin merosot. Kos rawatan semakin tinggi. Mereka tidak mempunyai anak untuk membantu dan simpanan semakin menyusut. Di rumah, hubungan mereka makin tegang. Lawrence yang sudah tua dan uzur berasa tidak mampu lagi untuk terus hidup dalam tekanan seperti tekanan kewangan, tekanan emosi dan tekanan rasa bersalah sebagai suami yang tidak dapat membantu isterinya.

     Lawrence kemudian membuat satu keputusan yang di luar jangkaan. Dia dengan sengaja merompak bank tetapi tanpa niat untuk menyakiti sesiapa. Tujuan Lawrence jelas di mana dia berharap ditangkap, dipenjarakan dan dalam penjara dia akan mendapat tiga perkara yang dia tidak mampu dapat di luar iaitu makanan, tempat tinggal dan rawatan perubatan. Dalam fikirannya, hidup dalam penjara adalah “penyelesaian.”

     Ketika dibicarakan di mahkamah, peguam bela mengemukakan laporan psikologi. Lawrence disahkan mengalami tekanan perasaan yang kronik dan tindakannya bukan berpunca dari niat jahat tetapi dari rasa putus asa yang mendalam. Hakim akhirnya menjatuhkan hukuman yang tidak seperti kebiasaan bagi kes rompakan bank. Hukuman tersebut adalah 6 bulan tahanan rumah, 3 tahun parol dan 50 jam khidmat masyarakat. Hakim juga menyatakan bahawa masyarakat harus membuka mata terhadap keadaan warga emas yang semakin terpinggir dan hidup dalam penderitaan senyap.

Catat Ulasan for "Kisah Lelaki Tua yang Merompak Bank Demi Isterinya, Bukan Wang"