Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Lizzie Borden: Misteri Kapak Berdarah di Fall River


     Pada pagi 4 Ogos 1892, bandar kecil Fall River di Massachusetts digemparkan dengan satu pembunuhan ngeri yang berlaku di sebuah rumah dua tingkat milik keluarga Borden, sebuah keluarga kelas pertengahan yang dikenali ramai di kawasan tersebut. Mangsa pembunuhan adalah Andrew Borden, seorang ahli perniagaan yang berjaya dan isterinya iaitu Abby Borden. Kedua-duanya ditemukan mati dengan kesan tetakan kejam yang dipercayai menggunakan kapak atau senjata tumpul tajam seumpamanya. Namun apa yang benar-benar menjadikan kes ini sensasi bukan sahaja kerana keganasannya tetapi kerana suspek utama merupakan anak perempuan Andrew sendiri,  Lizzie Borden.

    Lizzie Andrew Borden yang berusia 32 tahun semasa kejadian tinggal bersama bapa dan ibu tirinya di rumah tersebut. Berstatus wanita bujang yang berpegang kepada nilai-nilai keagamaan dan aktif dalam komuniti gereja, Lizzie dari luar kelihatan sebagai wanita terhormat. Namun di sebalik imej tersebut, hubungan antara Lizzie dan ibu tirinya dikatakan dingin. Lizzie dan kakaknya yang bernama Emma yang tinggal di luar kawasan semasa kejadian tidak pernah menganggap Abby sebagai ibu kandung dan sering menyebutnya hanya sebagai "Puan Borden". Perselisihan antara mereka dikatakan berpunca daripada isu harta pusaka terutama apabila Andrew memberikan beberapa aset kepada saudara-mara Abby tetapi tidak kepada anak-anaknya sendiri.


     Pada pagi kejadian, Abby Borden ditemui terlebih dahulu dalam bilik tetamu di tingkat atas rumah. Tubuhnya terbaring dalam keadaan meniarap dengan kepala hampir hancur akibat sekurang-kurangnya 19 tetakan kapak. Lebih kurang daripada satu jam kemudian, Andrew Borden pula ditemui di ruang tamu juga dengan kepala yang dihentam berkali-kali sehingga wajahnya sukar dikenali. Pihak berkuasa yang dipanggil ke tempat kejadian mendapati tiada tanda-tanda pencerobohan dari luar. Tiada barang yang dicuri dan semua tingkap serta pintu dikunci dari dalam. Satu-satunya kemungkinan yang logik ialah pembunuhan itu dilakukan oleh seseorang dari dalam rumah.
   
     Lizzie memberikan beberapa kenyataan kepada polis yang kemudiannya menjadi perhatian ramai. Pada mulanya, dia mendakwa tidak berada di tempat kejadian semasa pembunuhan berlaku. Kata Lizzie, dia berada di dalam bangsal di luar rumah sedang mencari pemberat memancing. Walau bagaimanapun, siasatan polis mendapati bangsal itu berhabuk dan tidak menunjukkan sebarang kesan aktiviti. Beberapa kenyataan Lizzie juga bercanggah. Contohnya, dia pernah berkata ada mendengar bunyi jeritan tetapi kemudian mendakwa tidak mendengar apa-apa. Tingkah lakunya yang kelihatan tenang dan terkawal juga menimbulkan tanda tanya. Tambahan pula, sehari selepas kejadian, Lizzie dilaporkan telah membakar salah satu gaunnya dengan alasan terkena cat. Pihak pendakwaan percaya gaun itu berkemungkinan mempunyai kesan darah dan merupakan bukti penting yang cuba dimusnahkan.


     Perbicaraan terhadap Lizzie Borden bermula pada Jun 1893 dan mendapat liputan meluas media. Ramai yang menghadiri sesi mahkamah semata-mata ingin melihat wanita muda yang dituduh membunuh ayah dan ibu tirinya dengan kapak. Cuma sistem kehakiman pada waktu itu yang didominasi lelaki dan dipengaruhi oleh persepsi sosial menyukarkan pihak pendakwa untuk membuktikan kes mereka. Tiada saksi yang melihat Lizzie melakukan pembunuhan. Senjata pembunuhan tidak dapat dikenal pasti secara muktamad walaupun terdapat beberapa kapak yang ditemui. Bukti forensik juga sangat terhad kerana teknologi ketika itu masih belum maju. Malah, ramai menganggap wanita tidak mungkin sanggup melakukan jenayah sekejam itu lebih-lebih lagi terhadap ahli keluarga sendiri.

      Akhirnya yakni setelah perbicaraan yang berlangsung selama lebih dua minggu, juri mengambil masa kurang daripada satu jam untuk mencapai keputusan. Lizzie Borden dibebaskan daripada semua pertuduhan. Keputusan ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat. Ada yang percaya Lizzie tidak bersalah dan menjadi mangsa sistem yang gagal melindungi wanita manakala ramai juga yang yakin dia bebas hasil status sosial dan kedudukannya sebagai wanita kulit putih berpendidikan tinggi pada era tersebut.


     Selepas pembebasan, Lizzie menghadapi diskriminasi sosial yang hebat. Biarpun dia terus menetap di Fall River dan mewarisi sebahagian besar harta bapanya, masyarakat menjauhkan diri. Dia menukar namanya kepada “Lizbeth” dan hidup dalam kesunyian sehingga meninggal dunia pada tahun 1927. Kakaknya, Emma juga menjauhkan diri daripadanya beberapa tahun selepas perbicaraan, suatu petanda bahawa kepercayaan dalam keluarga itu telah lama runtuh.

     Kes Lizzie Borden telah menjadi sumber inspirasi kepada pelbagai karya dalam budaya popular termasuk filem, dokumentari, novel bahkan juga lagu rakyat yang masih diingati hingga kini. 

     "Lizzie Borden took an axe,
      And gave her mother forty whacks.
      When she saw what she had done,
      She gave her father forty-one."

Catat Ulasan for "Kisah Lizzie Borden: Misteri Kapak Berdarah di Fall River"