Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Lucy Letby – Malaikat Maut Di Wad Neonatal


     Lucy Letby ialah seorang bekas jururawat neonatal dari Britain yang telah disabitkan bersalah kerana membunuh beberapa bayi di Hospital Countess of Chester antara tahun 2015 dan 2016. Kes ini merupakan salah satu jenayah paling mengejutkan dalam sejarah perubatan moden UK.

     Dilahirkan pada tahun 1990 di bandar kecil Hereford, England, Letby membesar dalam persekitaran keluarga kelas pertengahan. Dia merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kejururawatan dari University of Chester. Letby kemudian bekerja di unit neonatal di Hospital Countess of Chester yang merawat bayi baru lahir yang memerlukan penjagaan khas.


     Bermula dari bulan Jun 2015 hingga Jun 2016, berlaku lonjakan luar biasa dalam kes kematian dan kecemasan melibatkan bayi-bayi di unit tempat Letby bertugas. Keadaan menjadi lebih mencurigakan apabila para doktor mula melihat corak kejadian yang sama di mana bayi tiba-tiba mengalami keruntuhan sistem badan tanpa sebab perubatan yang jelas, selalunya ketika Letby berada dalam syif. Kaedah yang digunakan Letby sangat kejam dan tidak masuk akal di mana dia dipercayai menyuntik udara ke dalam salur darah, memberikan susu secara berlebihan, merosakkan tiub oksigen dan bahkan menyuntik insulin ke dalam badan bayi.

     Apa yang lebih mengerikan ialah bagaimana Letby sering dilihat berada di sisi bayi semasa kejadian berlaku seolah-olah seorang penyelamat sedangkan dia adalah puncanya. Beberapa doktor mula mempersoalkan kehadirannya yang “tidak kena pada tempatnya” tetapi kebimbangan mereka sering diketepikan oleh pihak pengurusan hospital yang lebih mementingkan reputasi institusi.


     Akhirnya yakni selepas tekanan daripada pakar pediatrik, siasatan dalaman dimulakan. Letby digantung tugas pada pertengahan 2016 dan ditahan beberapa kali antara 2018 hingga 2020. Pihak polis kemudian menemui beberapa bukti penting termasuk nota tulisan tangan Letby yang mengandungi kata-kata seperti: “I am evil, I did this”. Lebih mengejutkan, Letby juga dikesan mencari maklumat mengenai keluarga bayi yang meninggal dunia melalui Facebook, walaupun bertahun selepas kejadian,  menunjukkan obsesi yang tidak sihat dan mengganggu.

     Perbicaraan Lucy Letby bermula pada Oktober 2022 dan menjadi antara perbicaraan paling panjang dalam sejarah kehakiman UK. Selepas mendengar pelbagai keterangan pakar dan saksi, juri akhirnya mendapati Letby bersalah atas 7 pertuduhan membunuh dan 6 percubaan membunuh. Pada Ogos 2023, Letby dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol, satu hukuman yang sangat jarang dikenakan terhadap wanita di UK.

     Masyarakat Britain dan antarabangsa menyambut keputusan ini dengan pelbagai reaksi. Ramai yang marah terhadap pihak pengurusan hospital kerana lambat bertindak meskipun terdapat bukti dan amaran awal daripada doktor. Kerajaan UK kemudian mengarahkan siasatan awam berskala penuh untuk menyiasat apa yang sebenarnya berlaku dan mengapa Letby tidak dihentikan lebih awal.


     Pada tahun 2025, kes ini kembali menjadi tumpuan apabila pasukan guaman Lucy Letby membuat permohonan kepada Criminal Cases Review Commission (CCRC) untuk menyemak semula sabitan terhadapnya. Permohonan ini dikemukakan pada 3 Februari 2025 dengan disertakan laporan daripada panel pakar neonatologi antarabangsa yang mendakwa bahawa kematian bayi-bayi berkenaan mungkin berpunca daripada kecuaian klinikal atau faktor semula jadi, bukan tindakan jenayah.

     Peguam Letby berhujah bahawa bukti saintifik semasa perbicaraan asal terlalu lemah untuk mensabitkan kesalahan jenayah. Namun keluarga mangsa tampil bersatu menolak dakwaan ini dan menegaskan bahawa hujah pasukan Letby hanya bersifat publisiti dan cubaan terakhir untuk membersihkan namanya, bukan berdasarkan bukti yang kukuh. Selain itu, siasatan awam yang diketuai oleh Lady Justice Thirlwall diteruskan meskipun terdapat desakan daripada pihak Letby dan bekas pengurusan hospital agar ia ditangguhkan. Siasatan ini dijangka akan membentangkan laporan akhir pada November 2025 termasuk kemungkinan berlakunya kecuaian sistematik atau penglibatan pihak lain. Pihak polis kini turut menyiasat sama ada terdapat kematian bayi lain yang sebelum ini tidak dikaitkan dengan Letby dan juga kemungkinan wujudnya unsur pembunuhan korporat oleh pihak hospital yang gagal melindungi pesakit.

Catat Ulasan for "Kisah Lucy Letby – Malaikat Maut Di Wad Neonatal"