Kisah Mary Ann Bevan: Wajah di Sebalik Gelaran “Wanita Paling Hodoh di Dunia"

Dalam sejarah pertunjukan sarkas dan “freak shows” di awal abad ke-20, nama Mary Ann Bevan seringkali disebut dengan gelaran yang kejam — “Wanita Paling Hodoh di Dunia.” Walau bagaimanapun, gelaran tersebut hanya mewakili pandangan luar yang sempit tanpa mengambil kira kisah hidupnya yang penuh pengorbanan, penderitaan dan kekuatan luar biasa sebagai seorang wanita serta ibu tunggal yang berjuang dalam dunia yang tidak berbelas kasihan.
Mary Ann dilahirkan pada 20 Disember 1874 di Plaistow, London, England dalam keluarga kelas pekerja. Sejak kecil, dia menunjukkan kepintaran dan sifat bertanggungjawab. Mary Ann membesar sebagai seorang gadis yang biasa selain digambarkan sebagai seorang yang agak menarik dari segi paras rupa. Setelah dewasa, Mary Ann menceburi bidang kejururawatan yakni suatu profesion yang memerlukan dedikasi tinggi. Dia kemudian berkahwin dengan seorang lelaki bernama Thomas Bevan dan mereka dikurniakan empat orang anak hasil perkahwinan tersebut.

Namun kebahagiaan itu tidak kekal lama. Setelah beberapa tahun mendirikan rumah tangga, suaminya meninggal dunia secara tiba-tiba sekaligus meninggalkan Mary Ann sebagai ibu tunggal kepada empat anak yang masih kecil. Pada masa yang sama, Mary Ann mula mengalami simptom-simptom penyakit akromegali iaitu sejenis penyakit yang berpunca daripada lebihan hormon pertumbuhan akibat tumor pada kelenjar pituitari. Penyakit ini menyebabkan tulang dan tisu badan terus membesar walaupun setelah dewasa. Wajahnya berubah dengan rahangnya menjadi besar serta menonjol, hidungnya melebar, dahinya menebal dan bentuk kepalanya menjadi tidak simetri. Tangan dan kaki Mary Ann turut membesar membuatkannya kelihatan seperti raksasa mengikut pandangan masyarakat ketika itu.
Akromegali bukan sahaja memberi kesan fizikal malah turut menyebabkan kesakitan kronik, sakit sendi, tekanan darah tinggi, penglihatan kabur dan dalam sesetengah kes boleh membawa kepada kematian jika tidak dirawat. Pada awal abad ke-20, pengetahuan tentang akromegali masih terhad dan rawatan moden seperti pembedahan atau terapi hormon belum lagi tersedia untuk golongan biasa. Mary Ann tidak hanya mengalami penderitaan fizikal dan emosi tetapi turut berdepan diskriminasi dan penghinaan masyarakat yang gagal memahami keadaannya.

Setelah ditolak dari pelbagai pekerjaan kerana penampilannya, Mary Ann akhirnya menyertai pertandingan “The Ugliest Woman” yang diiklankan dalam sebuah akhbar di London. Tanpa pilihan lain dan demi menyara anak-anaknya, dia menghantar gambarnya untuk menyertai pertandingan itu lalu ‘menang’. Kemenangan itu membuka jalan untuknya menyertai dunia pertunjukan sarkas dan “freak shows”. Antara tempat yang menjemputnya ialah Coney Island Dreamland, salah satu pusat hiburan paling terkenal di Amerika Syarikat ketika itu.
Di sana, Mary Ann ditawarkan pekerjaan sebagai salah seorang tarikan utama. Dia dipamerkan di hadapan ribuan pengunjung setiap hari yang datang hanya untuk melihat penampilannya yang ‘luar biasa’. Poster-poster besar memaparkan wajahnya bersama gelaran menghina, dijadikan bahan lawak dan dimomokkan kepada kanak-kanak. Cuma di sebalik penghinaan itu, Mary Ann tetap berdiri teguh. Dengan bayaran tetap dan pendapatan yang agak lumayan, dia akhirnya berjaya menghantar wang ke England untuk menyara anak-anaknya dari kejauhan. Mary Ann terus bekerja dalam pertunjukan itu selama lebih satu dekad.

Mary Ann Bevan meninggal dunia pada 26 Disember 1933, enam hari selepas ulang tahunnya yang ke-59. Dia telah dikebumikan di Ladywell and Brockley Cemetery, London. Selepas kematian Mary Ann, gambar-gambarnya terus disebarkan secara tidak beretika termasuk digunakan dalam kad ucapan, iklan parodi, dan bahan jenaka di media sosial sehingga ke hari ini. Salah satu insiden paling menyedihkan berlaku apabila sebuah syarikat kad ucapan Britain pernah menggunakan gambarnya untuk bahan jenaka Hari Ibu hingga menyebabkan kemarahan ramai pihak yang akhirnya memaksa mereka menarik balik kad tersebut. Pada beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai pihak termasuk ahli sejarah dan aktivis tampil mempertahankan maruah Mary Ann. Mereka menyeru agar masyarakat berhenti mengeksploitasi wajahnya sebagai bahan jenaka dan mula melihat kisah hidupnya dari sisi yang lebih manusiawi.
Catat Ulasan for "Kisah Mary Ann Bevan: Wajah di Sebalik Gelaran “Wanita Paling Hodoh di Dunia""