Kisah Misteri Kehilangan Andrew Gosden

Pada pagi 14 September 2007, keluarga Gosden di Doncaster, South Yorkshire menjalani rutin harian seperti biasa tanpa menyedari bahawa hari itu akan mengubah hidup mereka buat selama-lamanya. Andrew Paul Gosden iaitu seorang pelajar berusia 14 tahun yang dikenali sebagai bijak, pendiam dan berdisiplin dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah dari sekolah. Sejak itu, kehilangan Andrew menjadi antara kes orang hilang paling misteri dan penuh teka-teki di United Kingdom.
Andrew merupakan pelajar cemerlang di McAuley Catholic High School dan tidak mempunyai sebarang rekod masalah sosial. Dia memperoleh markah tertinggi dalam semua peperiksaannya dan dikenal pasti sebagai pelajar berpotensi tinggi dalam bidang matematik. Malah, Andrew pernah dijemput menghadiri program khas untuk pelajar berbakat tetapi memilih untuk tidak menyertainya kerana tidak selesa berada di luar zon selesanya. Andrew juga tidak memiliki telefon bimbit dan keluarga mereka tidak mempunyai sambungan internet di rumah ketika itu, satu perkara luar biasa pada zaman itu.

Pada hari kehilangannya, Andrew berpura-pura pergi ke sekolah seperti biasa. Namun sebaik keluarganya beredar, dia kembali ke rumah untuk menukar pakaian sekolah kepada baju hitam, jeans dan membawa beg kecil. Andrew kemudian mengeluarkan £200 daripada akaun banknya yakni hampir keseluruhan simpanannya sebelum berjalan kaki kira-kira empat kilometer ke stesen kereta api Doncaster. Di sana, dia membeli tiket sehala ke London King's Cross dengan tunai. Andrew enggan membeli tiket pulang walaupun hanya sedikit lebih mahal selain enggan menggunakan kad pelajar untuk diskaun.
Rakaman CCTV terakhir menunjukkan Andrew tiba di London kira-kira jam 11.20 pagi. Selepas keluar dari stesen King's Cross, tiada lagi jejak yang dapat dikesan. Tiada rakaman CCTV tambahan, tiada saksi yang pasti melihatnya dan tiada transaksi bank atau bukti penggunaan wang tunai.

Pencarian besar-besaran dimulakan segera. Keluarga Andrew mengedarkan ribuan poster, menghubungi media dan bekerjasama rapat dengan polis dan badan kebajikan orang hilang. Sebuah laman web, helpustofindandrew.weebly.com telah ditubuhkan untuk menyebarkan maklumat dan menerima petunjuk. Siasatan awal mendapati tiada tanda Andrew dirancang untuk lari dari rumah secara kekal, tiada aktiviti dalam akaun banknya selepas itu dan tiada sejarah masalah emosi atau sosial yang membimbangkan.
Selama bertahun-tahun, pelbagai petunjuk dan teori muncul. Pada satu ketika, seorang individu tampil dalam talian mendakwa sebagai Andrew dan menyatakan ingin kembali ke rumah. Cuma selepas disiasat, akaun itu dikenal pasti sebagai palsu. Selain itu, terdapat laporan tidak disahkan bahawa Andrew dilihat menghadiri konsert band rock di London pada hari kehilangannya tetapi tiada bukti kukuh menyokong dakwaan tersebut.

Pada tahun 2021, setelah hampir 14 tahun, dua orang lelaki ditahan berkaitan kes Andrew atas dakwaan penculikan, eksploitasi seksual dan pemerdagangan manusia. Seorang daripada mereka disyaki memiliki bahan pornografi kanak-kanak yang dikaitkan dengan nama Andrew Gosden. Selepas siasatan lanjut, kedua-duanya dibebaskan tanpa pendakwaan. Ini sekali lagi menimbulkan rasa kecewa dan kesedihan kepada keluarga Gosden yang menaruh harapan tinggi terhadap perkembangan tersebut.
Kes ini turut menarik perhatian pakar forensik digital, sukarelawan dan komuniti dalam talian yang membantu mengedarkan poster versi wajah "Andrew dewasa" melalui teknologi pengimejan muka untuk membayangkan bagaimana wajahnya mungkin kelihatan hari ini. Walaupun berbelas tahun telah berlalu, keluarga Gosden tidak pernah berhenti berharap. Mereka terus menyeru orang awam supaya tidak melupakan anak mereka dan berkongsi apa sahaja maklumat yang mungkin berguna walaupun tampak kecil. Hingga kini, kehilangan Andrew Gosden kekal menjadi salah satu misteri terbesar di UK.
Catat Ulasan for "Kisah Misteri Kehilangan Andrew Gosden"