Kisah Misteri "Who put Bella in the Wych Elm?"
Pada tahun 1943 yakni ketika dunia sedang hangat dilanda Perang Dunia Kedua, satu penemuan mengejutkan telah berlaku di sebuah kawasan hutan terpencil bernama Hagley Wood yang terletak di Worcestershire, England. Empat orang budak lelaki iaitu Bob Farmer, Thomas Willetts, Robert Hart dan Fred Payne secara senyap-senyap telah menceroboh masuk ke kawasan tersebut yang ketika itu merupakan kawasan larangan. Tujuan mereka hanyalah untuk mencari telur burung liar dan menghabiskan masa di hutan. Namun apa yang mereka temui telah mengubah kawasan itu menjadi tapak salah satu misteri jenayah paling terkenal dalam sejarah Britain.
Ketika meneroka, salah seorang daripada mereka, Bob Farmer telah memanjat sebatang pokok elm yang besar dan berongga. Di dalam lubang pokok tersebut, dia ternampak sesuatu yang menyeramkan, tengkorak manusia dengan cebisan rambut yang masih melekat serta barisan gigi yang masih utuh. Mereka berempat pada mulanya panik dan sepakat untuk tidak memberitahu sesiapa kerana takut dimarahi akibat menceroboh kawasan larangan. Cuma selepas pulang ke rumah dan memikirkan semula, mereka akhirnya membuat laporan kepada pihak berkuasa pada keesokan harinya.

Pihak polis segera ke tempat kejadian dan menjalankan siasatan. Mereka menemui rangka seorang wanita dewasa yang sudah reput dan hampir menjadi rangka sepenuhnya. Tengkoraknya ditemui di dalam rongga pokok bersama cebisan pakaian dan kasut. Paling mengejutkan ialah terdapat sehelai kain disumbat ke dalam rongga mulut tengkorak tersebut seolah-olah wanita itu mati akibat dicekik atau ditutup pernafasannya. Beberapa tulang lain termasuk lengan kanan dan beberapa tulang jari dijumpai berasingan tidak jauh dari pokok tersebut. Segalanya menunjukkan bahawa ini adalah satu pembunuhan dan bukan kematian semula jadi.
Pakar forensik menganggarkan bahawa mangsa ialah seorang wanita berusia sekitar 35 hingga 40 tahun dengan ketinggian lebih kurang 150 sentimeter. Struktur giginya menunjukkan bentuk susunan yang tidak biasa dalam kalangan penduduk tempatan. Ini menimbulkan teori bahawa wanita itu mungkin berasal dari luar negara atau sekurang-kurangnya bukan dari kawasan sekitarnya. Hasil kajian terhadap kadar pereputan mayat menunjukkan bahawa wanita itu mungkin telah mati sekitar 18 bulan sebelum mayatnya ditemui iaitu sekitar penghujung tahun 1941.
Usaha dilakukan oleh pihak polis untuk mengenalpasti mangsa dengan menyemak senarai individu yang dilaporkan hilang di seluruh negara. Malangnya, tiada siapa yang hilang dalam tempoh tersebut sepadan dengan ciri-ciri fizikal mayat wanita itu. Kes ini menjadi semakin rumit kerana tanpa identiti mangsa, semestinya sukar untuk mengesan suspek atau motif pembunuhan.

Beberapa bulan selepas penemuan itu, sesuatu yang ganjil mula berlaku. Grafiti misteri mula muncul di dinding-dinding bangunan di Birmingham dan kawasan Worcestershire, dengan mesej yang berbunyi, “Who put Bella in the Wych Elm?”. Tulisan ini bukan muncul sekali dua tetapi berulang-ulang selama bertahun-tahun. Grafiti tersebut kadang-kadang ditulis dengan kapur, kadang-kadang dengan cat, kadang-kadang di batu atau papan tanda seperti ada seseorang yang tahu lebih daripada apa yang didedahkan kepada umum. Nama “Bella” tidak pernah diumumkan oleh pihak polis tetapi entah bagaimana ia menjadi nama panggilan kepada mayat misteri itu.
Sejak itu, pelbagai teori telah timbul untuk menjelaskan siapa Bella dan kenapa dia dibunuh. Salah satu teori paling popular ialah Bella merupakan mangsa ritual sihir atau okultisme. Beberapa pengkaji kepercayaan pagan lama percaya bahawa cara mayat disembunyikan dengan mulut disumbat kain dan diletakkan dalam rongga pokok mencerminkan satu bentuk ritual purba untuk menutup “roh jahat” atau “menghukum pengkhianat”. Tambahan pula, pokok elm dianggap simbol penting dalam beberapa kepercayaan mistik sebagai pintu masuk ke alam roh.
Teori lain pula menyatakan bahawa Bella ialah seorang perisik Jerman semasa Perang Dunia Kedua. Ketika itu, ramai ejen Nazi menyusup masuk ke England untuk mendapatkan maklumat sulit. Ada spekulasi bahawa Bella ialah ejen yang dihantar ke Britain dan kemudian dibunuh sama ada oleh ejen lain atau oleh pihak berkuasa Britain yang mengetahui aktivitinya. Pada tahun 1953, seorang wanita bernama Una Mossop tampil dengan cerita bahawa suaminya pernah bercerita tentang seorang wanita bernama “Bella” yang mati selepas satu insiden di sebuah pub. Walau bagaimanapun, cerita itu tidak pernah disahkan dan kekal sebagai khabar angin semata-mata.

Ada juga yang berpendapat bahawa Bella hanyalah seorang wanita biasa sama ada seorang pelacur, pengembara atau pelarian yang dibunuh oleh seseorang yang dikenali lalu mayatnya disembunyikan dalam pokok oleh pelaku yang tahu kawasan itu jarang dilalui. Namun jika benar begitu, kenapa tiada sesiapa yang melaporkan kehilangannya? Kenapa tiada satu pun identiti dapat dipadankan dengannya walaupun selepas bertahun-tahun?
Sehingga kini, kes “Bella dalam pokok elm” masih tidak diselesaikan. Pokok elm tempat mayat itu ditemui telah tumbang akibat usia tetapi kisah misteri itu tetap hidup dalam budaya masyarakat setempat. Setiap kali grafiti dengan ayat “Who put Bella in the Wych Elm?” muncul semula di tempat awam, misteri lama itu kembali menghantui.
Catat Ulasan for "Kisah Misteri "Who put Bella in the Wych Elm?""