Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KELUARGA DODI TRIONO


     Kes pembunuhan kejam yang berlaku pada hujung tahun 2016 di Pulo Mas, Jakarta Timur telah mengejutkan seluruh rakyat Indonesia dan menjadi salah satu tragedi paling menyayat hati dalam sejarah jenayah negara itu. Kejadian ini bukan satu rompakan biasa tetapi telah berakhir dengan pembunuhan enam orang termasuk seorang ahli perniagaan ternama iaitu Dodi Triono serta dua anak perempuannya yang masih muda. Tragedi ini turut dikenali dalam kalangan masyarakat dan media sebagai “Pembunuhan Tandas Pulo Mas” kerana cara mangsa dikurung dalam bilik air kecil sehingga lemas.

     Dodi Triono merupakan seorang arkitek dan usahawan hartanah berjaya yang tinggal di kawasan elit Pulo Mas. Pada 26 Disember 2016, kediamannya telah diceroboh oleh sekumpulan penjenayah bersenjata yang terdiri daripada empat orang lelaki. Mereka memasuki rumah tersebut dengan niat untuk merompak tetapi rancangan jahat itu bertukar menjadi tragedi berdarah apabila mereka mengumpulkan kesemua penghuni rumah yakni seramai 11 orang  dan mengurung mereka ke dalam sebuah bilik air kecil berukuran kira-kira 1.5 x 2 meter persegi. Pintu bilik air itu kemudian dikunci dari luar dan pemegangnya dirosakkan bagi menghalang mereka daripada melarikan diri atau meminta pertolongan.


     Antara mangsa yang dikurung ialah Dodi Triono sendiri, tiga orang anak perempuannya, seorang rakan anak, dua orang pemandu dan beberapa pembantu rumah. Mangsa dikurung dalam keadaan sempit tanpa sebarang pengudaraan selama lebih 17 jam. Keadaan yang sangat sesak dan panas di dalam bilik air menyebabkan enam daripada mereka menemui ajal akibat sesak nafas termasuk Dodi, dua anak perempuannya yang masih muda (Diona Arika, 16 tahun dan Dianita Gemma, 9 tahun) serta seorang rakan anak mereka bernama Amelia Callista (10 tahun). Turut terkorban ialah dua pemandu keluarga iaitu Yanto dan Tasrok.

     Lima individu lain masih hidup apabila mereka ditemui keesokan paginya pada 27 Disember oleh jiran dan pihak polis yang curiga dengan keadaan sunyi dan mencurigakan di rumah itu. Mereka yang terselamat ialah anak perempuan Dodi yang berusia 13 tahun, Zanette Kalila serta beberapa pembantu rumah. Mereka ditemui dalam keadaan lemah dan trauma akibat kekejaman yang dilalui.


     Pihak berkuasa Indonesia segera melancarkan operasi besar-besaran untuk memburu penjenayah terlibat. Mereka sudah lama merancang rompakan ini dan memilih rumah Dodi kerana menyangka lelaki berkenaan mempunyai wang dan barang berharga yang banyak. Difahamkan bahawa mereka pernah mengintip aktiviti rumah tersebut dan menunggu waktu yang sesuai untuk menyerang. Dalam tempoh beberapa hari sahaja, polis berjaya menangkap tiga daripada suspek utama yang dikenal pasti sebagai Erwin Situmorang, Alfin Bernius Sinaga dan Iyus Pane (juga dikenali sebagai Ridwan Sitorus). Ketua kumpulan, Ramlan Butarbutar, ditembak mati oleh polis ketika cuba melawan semasa proses penangkapan. Hasil siasatan, polis menemui fakta bahawa kumpulan ini telah melakukan beberapa rompakan lain sebelum ini termasuk satu kes di Pulomas dan Bekasi. Mereka merupakan penjenayah berulang yang tidak segan silu menggunakan kekerasan dan ancaman dalam setiap serangan. Ketangkasan dan keberkesanan pihak polis dalam menyelesaikan kes ini mendapat pujian ramai tetapi tidak dapat menghapuskan luka dan kesedihan yang ditinggalkan oleh tragedi ini.


     Apa yang menimbulkan lebih banyak persoalan ialah kenyataan bahawa hasil rompakan yang diperoleh sangat sedikit iaitu hanya dua beg yang mengandungi beberapa jam tangan jenama mewah Rolex dan wang tunai kira-kira 60 juta rupiah (lebih kurang RM 18 000). Jumlah ini terlalu kecil berbanding nyawa yang terkorban. Maka timbul spekulasi bahawa rompakan ini mungkin hanya alasan luaran dan ada motif lain yang lebih mendalam seperti dendam atau perasaan tidak puas hati terhadap Dodi Triono walaupun sehingga kini tidak ada bukti konkrit yang menyokong teori tersebut. Perbicaraan terhadap para suspek dijalankan secara terbuka dan menarik perhatian umum. Iyus Pane dan Erwin Situmorang masing-masing dijatuhi hukuman mati manakala Alfin Bernius Sinaga dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KELUARGA DODI TRIONO"