Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Pembunuhan Kejam Lelaki 13 Tahun di Hebei

     Pada Mac 2024, berlakunya satu insiden pembunuhan yang menggemparkan negara China. Kes yang dimaksudkan ialah seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun yang dikenali dengan nama keluarga Wang telah ditemui mati dibunuh dengan kejam oleh tiga orang rakan sekelasnya. Kejadian yang berlaku di daerah Feixiang, Handan wilayah Hebei ini bukan sahaja meragut nyawa seorang remaja yang masih muda malah turut membangkitkan persoalan besar tentang kebajikan dan keselamatan “kanak-kanak yang ditinggalkan”, satu kelompok sosial yang semakin membesar dalam masyarakat moden China.

     Mangsa, Wang, merupakan seorang pelajar sekolah menengah yang tinggal bersama datuk dan neneknya manakala ibu bapanya bekerja jauh di bandar yakni situasi yang amat biasa di kawasan luar bandar China. Fenomena ini dikenali sebagai "kanak-kanak yang ditinggalkan" atau left-behind children di mana lebih 6 juta kanak-kanak membesar tanpa kehadiran ibu bapa akibat penghijrahan ekonomi. Wang dikatakan sering menjadi sasaran buli oleh tiga orang pelajar lelaki sekelasnya yang juga berada dalam kategori sosial yang sama. Mereka seperti Wang, membesar dalam persekitaran yang serba kekurangan kasih sayang, disiplin dan pengawasan orang dewasa.

     Pada 10 Mac 2024, Wang dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas tidak pulang dari sekolah. Kali terakhir dia dilihat adalah bersama tiga rakan sekelasnya. Kebimbangan keluarga meningkat apabila tiada sebarang berita diterima dan usaha mencari sendiri oleh penduduk kampung tidak membuahkan hasil. Keesokan harinya, polis menemui mayat Wang yang telah ditanam di sebuah rumah hijau terbiar berhampiran kawasan ladang. Mayatnya telah ditutup dengan terpal dan berdasarkan laporan siasatan, pembunuhan tersebut telah dirancang terlebih dahulu. Malah lubang tempat mayat itu ditanam telah digali sehari lebih awal oleh salah seorang suspek.

     Pendedahan siasatan menggemparkan. Ketiga-tiga pelaku dikenali dengan nama keluarga Zhang, Li dan Ma dengan kesemuanya berusia 13 tahun telah merancang pembunuhan tersebut dengan niat membalas dendam serta menunjukkan kuasa dominasi. Laporan media menyebut bahawa mereka menyeksa mangsa terlebih dahulu sebelum membunuhnya secara kejam. Siasatan juga menunjukkan salah seorang daripada mereka telah mengajak dua rakannya menggali lubang untuk “projek rahsia” tanpa sesiapa mengesyaki niat sebenar.

     Kes ini membawa kepada perbicaraan pada Disember 2024 di mahkamah wilayah Hebei. Zhang yang dikenal pasti sebagai dalang utama dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Li pula menerima hukuman penjara selama 12 tahun kerana peranannya yang lebih kecil manakala Ma yang berperanan sebagai peserta pasif dikenakan hukuman pemulihan khas di pusat pendidikan juvana. Hukuman ini mencetuskan reaksi bercampur dalam kalangan masyarakat. Ramai yang bersimpati dengan mangsa dan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap hukuman ringan terutama kerana undang-undang China tidak membenarkan hukuman mati ke atas pesalah bawah umur 18 tahun.

     Bapa mangsa, dalam satu temu bual bersama media tempatan telah meluahkan kesedihan dan kemarahan yang tidak terhingga. Dia menegaskan bahawa hukuman penjara tidak setimpal dengan kehilangan anaknya yang disayangi. Dia turut menyeru kerajaan agar lebih tegas menangani jenayah juvana dan memberi perhatian serius terhadap nasib kanak-kanak yang ditinggalkan. 

     Media sosial di China dibanjiri dengan komen netizen yang menuntut keadilan selain ada yang mendesak perubahan dalam sistem pendidikan dan sosial negara. Kerajaan China melalui Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa tempatan kemudiannya mengumumkan beberapa langkah segera  termasuk pemantauan emosi pelajar di kawasan luar bandar, kempen anti-buli di sekolah dan cadangan untuk menambah pusat perlindungan bagi kanak-kanak yang ditinggalkan.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Lelaki 13 Tahun di Hebei"