Kisah Rachel Hoffman: Pemberi Maklumat yang Dikhianati

Pada awalnya, Rachel Morningstar Hoffman adalah seorang gadis biasa yang menjalani kehidupan remaja seperti orang lain. Dilahirkan pada tahun 1984 dan dibesarkan di Clearwater, Florida, Rachel dikenali oleh keluarga dan rakannya sebagai seorang yang ceria, peramah dan sangat menyayangi haiwan. Dia merupakan seorang pelajar yang pintar dan mempunyai masa depan yang cerah. Selepas tamat sekolah menengah, Rachel melanjutkan pelajaran ke Universiti Negeri Florida (Florida State University) dalam jurusan psikologi.
Namun seperti ramai remaja lain, Rachel mula terjebak dalam budaya pesta dan penggunaan dadah. Dia mula bereksperimen dengan ganja dan pil-pil ekstasi semasa di universiti. Meskipun Rachel tidak mempunyai rekod jenayah yang serius, dia pernah ditahan oleh pihak polis kerana memiliki dadah, tetapi diberi peluang kedua. Malangnya pada tahun 2008, Rachel sekali lagi ditahan tetapi kali ini dalam satu tangkapan yang melibatkan sejumlah besar ganja dan dadah sintetik.

Keadaan menjadi semakin rumit apabila polis menemui timbangan digital, beg plastik kecil dan sejumlah besar wang tunai dalam simpanan Rachel. Semua ini memberi gambaran seolah-olah dia terlibat dalam aktiviti pengedaran. Rachel kini berdepan kemungkinan tuduhan jenayah berat yang boleh membawa hukuman penjara bertahun-tahun. Dalam keadaan tertekan dan panik, dia diberi pilihan oleh pihak polis iaitu sama ada berdepan pendakwaan dan kemungkinan hukuman berat atau menjadi pemberi maklumat sulit (confidential informant) untuk membantu polis menangkap pengedar dadah yang lebih besar.
Rachel yang tidak pernah dilatih atau didedahkan dengan dunia jenayah berbahaya, memilih untuk bekerjasama dengan pihak polis. Dia diberitahu bahawa ini adalah peluang untuk “membersihkan namanya” dan membantu pihak berkuasa dalam misi membanteras jenayah dadah. Walau bagaimanapun, keputusan itu menjadi kesilapan paling besar dalam hidupnya yakni kesilapan yang mengorbankan nyawanya sendiri.
Pada 7 Mei 2008, Rachel dihantar menyertai satu operasi penyamaran yang dianjurkan oleh Jabatan Polis Tallahassee. Dia diarahkan untuk berjumpa dengan dua suspek pengedar dadah yang bernama Deneilo Bradshaw dan Andrea Green untuk membeli sejumlah besar dadah serta senjata api. Rachel dibekalkan dengan wang tunai sebanyak $13 000 dan polis memantaunya dari jauh menggunakan alat komunikasi serta alat penjejakan yang tersembunyi dalam keretanya. Namun dari awal lagi, operasi ini kelihatan tidak teratur dan penuh kelonggaran dari segi prosedur keselamatan.

Rachel disuruh menaiki kereta suspek tanpa sebarang pengiring atau pengawasan ketat. Apabila lokasi pertemuan berubah saat akhir dan suspek membawa Rachel ke kawasan terpencil, pasukan polis mula kehilangan jejaknya. Tidak lama selepas itu, semua bentuk komunikasi dengan Rachel terputus. Polis cuba mengesan isyarat alat penjejakan tetapi gagal. Rachel telah hilang dan mereka tidak tahu di mana dia berada.Selama dua hari, pencarian dilakukan namun semuanya menemui jalan buntu. Kegagalan operasi ini mengejutkan keluarga Rachel terutama ibunya, Margie Weiss yang tidak pernah tahu anaknya dijadikan pemberi maklumat dalam operasi berbahaya seperti itu. Margie hanya dimaklumkan selepas Rachel hilang. Dua hari kemudian, mayat Rachel ditemui di dalam hutan berhampiran Perry, Florida. Dia telah ditembak dua kali di kepala dan tubuhnya ditinggalkan tanpa belas kasihan.
Berita kematian Rachel mencetuskan kemarahan dan perdebatan awam. Ramai pihak mempersoalkan keputusan polis menggunakan seorang wanita muda yang tidak berpengalaman dalam misi berisiko tinggi. Tiada latihan diberikan, tiada persediaan fizikal atau mental dan paling penting, tiada perlindungan yang mencukupi. Rachel dihantar secara bersendirian untuk berurusan dengan dua lelaki bersenjata yang jelas merupakan penjenayah berbahaya.
Lebih menyedihkan, siasatan mendedahkan bahawa pihak polis telah melanggar beberapa prosedur asas. Mereka tidak menyediakan dokumen perjanjian yang lengkap antara Rachel dan pihak berkuasa dan mereka gagal menyelia lokasi pertukaran dengan teliti. Polis juga tidak melibatkan unit khas atau pengawasan udara yang biasanya digunakan dalam operasi besar sebegitu.

Kedua-dua suspek, Bradshaw dan Green ditangkap beberapa hari kemudian. Mereka didapati telah menipu Rachel kononnya mahu menjual dadah dan senjata tetapi sebenarnya berniat merompak dan membunuhnya. Dalam perbicaraan, Deneilo Bradshaw didapati bersalah atas tuduhan pembunuhan peringkat pertama dan rompakan bersenjata. Pada 17 Disember 2009 iaitu hari ulang tahun ke-25 Rachel, dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol serta tambahan 30 tahun penjara. Andrea Green yang mengaku bersalah atas pembunuhan peringkat kedua turut menerima hukuman penjara seumur hidup tanpa parol pada tahun berikutnya.
Keadilan di mahkamah tidak cukup bagi keluarga Rachel. Mereka menuntut reformasi sistem dan perlindungan lebih baik untuk pemberi maklumat seperti Rachel. Akibat desakan awam yang berterusan, pada tahun 2009, kerajaan Florida meluluskan "Rachel’s Law", satu undang-undang yang menetapkan garis panduan ketat dalam pengurusan pemberi maklumat. Undang-undang ini mewajibkan latihan kepada individu yang dijadikan pemberi maklumat sulit demi memastikan mereka memahami risiko selain melindungi mereka daripada dihantar ke dalam situasi berbahaya tanpa perancangan rapi.
Catat Ulasan for "Kisah Rachel Hoffman: Pemberi Maklumat yang Dikhianati"