Kisah Seram Seorang Kanibal: Albert Fish, Lelaki Paling Menjijikkan

Dalam sejarah jenayah dunia, hanya segelintir nama yang mampu menggigilkan tulang belakang hanya dengan disebut dan salah satunya ialah Albert Fish. Dikenali dengan pelbagai gelaran menyeramkan seperti The Gray Man, The Boogeyman, The Werewolf of Wysteria dan The Brooklyn Vampire, kisah hidupnya bukan sahaja mengandungi elemen pembunuhan kejam malah menyelusuri lorong gelap sadisme, kanibalisme dan gangguan jiwa yang tidak terjangkau akal waras manusia biasa.
Albert Fish dilahirkan pada 19 Mei 1870 di Washington D.C. dengan nama Hamilton Howard Fish. Dia merupakan anak bongsu daripada empat beradik. Keluarganya menyimpan sejarah penyakit mental yang menakutkan. Bapa saudaranya dimasukkan ke hospital gila, abangnya dimasukkan ke pusat mental dan ibunya dikatakan mengalami halusinasi serta delusi. Fish sendiri sejak kecil sudah menunjukkan tanda-tanda gangguan yang serius. Selepas kematian bapanya pada usia lima tahun, dia dihantar ke rumah anak yatim. Di sana, Fish bukan sahaja menjadi mangsa penderaan malah dikatakan mula menikmati penderitaan yang diterima. Menurutnya, dia mendapat kepuasan seksual apabila dipukul, satu tingkah laku yang kemudiannya berkembang menjadi kecenderungan masokisme yang ekstrem.

Ketika meningkat dewasa, Fish menjalani kehidupan yang kelihatan normal di mata masyarakat. Dia berkahwin dan dikurniakan enam orang anak. Namun di sebalik wajah lelaki tua yang lemah lembut dan bersahaja, tersembunyi sisi gelap yang menakutkan. Fish menyimpan alat-alat penyeksaan dalam begnya termasuk pisau cukur, gergaji tulang dan cambuk. Dia juga sering menyakiti dirinya sendiri seperti memasukkan jarum ke dalam kulit sekitar kawasan sulitnya, memukul diri dengan papan berpaku selain meminum air kencing dan memakan najis sebagai bentuk ritual peliknya sendiri. Pada peringkat tertentu, dia percaya bahawa Tuhan menghantar “arahan ghaib” kepadanya untuk menyeksa dan memakan kanak-kanak.
Fish mula mencari mangsanya di sekitar New York. Kebanyakannya adalah kanak-kanak yang terbiar atau berasal dari keluarga miskin. Dia menggunakan pelbagai helah untuk menarik perhatian mereka seperti menyamar sebagai majikan yang menawarkan kerja atau berpura-pura menjadi lelaki tua yang perlukan bantuan. Antara mangsa yang dipercayai terlibat termasuk Francis McDonnell, Billy Gaffney, dan yang paling terkenal ialah Grace Budd.

Kisah pembunuhan Grace Budd adalah antara yang paling kejam dan menyayat hati dalam sejarah jenayah Amerika. Pada tahun 1928, Fish bertemu dengan keluarga Budd dengan niat asal untuk memperdaya abang Grace yang ingin bekerja. Walau bagaimanapun, setelah melihat Grace yang berusia 10 tahun, niatnya berubah. Fish berpura-pura mahu membawa Grace ke majlis hari jadi anak saudaranya. Tanpa curiga, ibu bapanya membenarkan Grace pergi bersama Fish dan itu adalah kali terakhir mereka melihat anak perempuan mereka hidup. Beberapa tahun kemudian, ibu kepada Grace menerima sepucuk surat yang tidak bernama, ditaip dengan mesin taip. Surat itu mengandungi pengakuan mengerikan di mana Fish menceritakan bagaimana dia membawa Grace ke sebuah rumah kosong, mencekiknya sehingga mati dan kemudiannya memotong anggota badannya untuk dimakan. Fish menulis dengan terperinci bagaimana dia memasak daging kanak-kanak itu dan menikmatinya selama beberapa hari. Surat tersebut sangat mengerikan sehingga menyebabkan pegawai penyiasat berasa loya ketika membacanya. Namun dari surat itu jugalah, jejak Fish akhirnya dapat dikesan.

Albert Fish ditangkap pada akhir tahun 1934 selepas penyiasat berjaya mengesan mesin taip yang digunakan untuk menulis surat tersebut. Semasa soal siasat, Fish dengan tenang mengakui bahawa dia bukan sahaja membunuh Grace malah telah menculik serta membunuh beberapa kanak-kanak lain. Dia yang tidak menunjukkan penyesalan menceritakan perbuatannya dengan seolah-olah bangga dan puas. Dalam perbicaraan pada tahun 1935, Fish didakwa atas pembunuhan Grace Budd sahaja kerana itu satu-satunya kes yang mempunyai bukti kukuh. Walaupun peguam pembela cuba menyatakan bahawa Fish tidak waras, juri memutuskan dia waras dan bertanggungjawab atas perbuatannya. Hakim menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.
Pada 16 Januari 1936, Albert Fish dijatuhkan hukuman mati melalui kerusi elektrik di penjara Sing Sing, New York. Dilaporkan bahawa dia tidak takut, malah teruja untuk merasai sensasi elektrik mengalir dalam tubuhnya. Ironinya, kerusi elektrik yang digunakan untuk membunuhnya dikatakan mengalami kerosakan akibat jarum-jarum logam yang tertanam dalam tubuh Fish sendiri yakni hasil daripada perbuatan menyakiti diri yang dilakukannya selama bertahun-tahun.
Catat Ulasan for "Kisah Seram Seorang Kanibal: Albert Fish, Lelaki Paling Menjijikkan"