Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Sumanto: Kanibal dari Purbalingga

     Sumanto, seorang lelaki berasal dari Desa Pelumutan, Kecamatan Kemangkon, Kabupaten Purbalingga, Jawa Tengah pernah menggemparkan seluruh Indonesia dan menjadi tajuk utama media pada awal tahun 2003. Namanya tidak lagi asing dalam sejarah jenayah di Indonesia kerana perbuatannya yang sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan iaitu memakan mayat manusia. 

     Kejadian yang membuka mata seluruh negara berlaku pada Januari 2003 apabila Sumanto ditangkap setelah diketahui telah menggali semula kubur seorang wanita lanjut usia bernama Mbok Rimah hanya 16 jam selepas mangsa dikebumikan. Apa yang lebih mengejutkan, dia mengaku memakan daging mayat tersebut. Tindakannya bukanlah disebabkan oleh kelaparan atau gangguan mental semata-mata tetapi kerana kepercayaan kuat terhadap ilmu hitam. Dalam pengakuannya, Sumanto berkata bahawa dia mempelajari ajaran ilmu kebal daripada seorang lelaki bernama Taslim ketika berada di Lampung. Ilmu tersebut dipercayai memerlukan "sajian" tertentu yakni memakan daging manusia agar dia dapat menjadi kebal senjata dan memperoleh kekuatan luar biasa termasuk kemampuan untuk menghidupkan orang mati.

     Polis yang menjalankan siasatan mendapati bahawa kejadian di Purbalingga itu bukanlah yang pertama. Sumanto dipercayai telah melakukan perkara sama terhadap sekurang-kurangnya tiga jasad yang berbeza di tempat lain termasuk di Lampung dan sekitar kampung halamannya. Dia juga tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah atau kekesalan. Sumanto sebaliknya memberikan jawapan yang tenang dan percaya bahawa apa yang dilakukannya adalah "jalan ilmu".

     Akhirnya pada 13 Januari 2003, Sumanto ditangkap dan didakwa di bawah Pasal 363 Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) atas kesalahan pencurian berat. Pendakwaannya bukan kerana kanibalisme memandangkan tiada pengkhususan mengenai dakwaan tersebut dalam undang-undang Indonesia ketika itu. Tindakan undang-undang ini turut menjadi bahan perdebatan ramai kerana tidak menggambarkan dengan tepat kengerian sebenar jenayah yang dilakukan. Pada 27 Jun 2003, Sumanto dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun, satu tempoh yang dianggap ringan oleh sesetengah pihak. Walau bagaimanapun, dia dibebaskan lebih awal, iaitu pada 24 Oktober 2006 atas kelakuan baik sepanjang menjalani hukuman.

     Setelah bebas, Sumanto tidak kembali kepada keluarganya. Masyarakat di sekeliling termasuk keluarganya sendiri menolak kehadirannya kerana bimbang akan keselamatan dan trauma yang ditinggalkan oleh sejarah silamnya. Sumanto kemudian dihantar ke sebuah yayasan bernama An-Nur milik Haji Supono Mustajab di Desa Bungkanel, Purbalingga. Di situlah tempat dia menjalani proses pemulihan dan penyesuaian diri dengan kehidupan normal. Di bawah jagaan yayasan tersebut, Sumanto dilaporkan menjalani kehidupan yang lebih tenang dengan terlibat dalam kegiatan pertanian, keagamaan dan aktiviti sosial.

     Menariknya, Sumanto turut menyesuaikan diri dengan era moden apabila mula aktif sebagai pencipta kandungan di media sosial. Di Instagram dan TikTok, dia berkongsi kehidupan hariannya seperti memberi makan ikan gurame, menanam sayur serta aktiviti-aktiviti kampung yang biasa. Kehadirannya di media sosial mendapat pelbagai reaksi dengan ada yang simpati, ada yang masih trauma, dan ada juga yang menjadikannya bahan jenaka. Sumanto bagaimanapun tetap menampilkan imej yang lebih bersahaja dan sering menyebut bahawa dia sudah insaf dan ingin berubah menjadi insan yang lebih baik.

     Kisah hidup Sumanto turut mendapat perhatian dalam industri hiburan apabila diangkat ke layar perak melalui filem berjudul Kanibal – Sumanto pada tahun 2004 yang diterbitkan oleh Starvision Plus dan diarahkan oleh Christ Helwerdery. Filem ini menggambarkan kejadian sebenar yang berlaku dan menjadi salah satu karya kontroversi pada zamannya. Malah pada tahun 2024, kisah ini dikatakan bakal difilemkan semula di mana kali ini dengan pelakon Aming sebagai watak utama. Pemilihan Aming mencetuskan reaksi pelbagai kerana dia dikenali sebagai pelakon komedi tetapi pihak produksi yakin akan kebolehannya membawa watak psikologikal yang kompleks.

     Lebih daripada sekadar kisah seram, tragedi Sumanto telah membuka mata ramai pihak di Indonesia tentang kelemahan dalam sistem sokongan masyarakat, bahaya ajaran sesat dan juga keperluan memperbaiki undang-undang berkaitan jenayah yang luar biasa. Kes ini telah mendorong perbincangan serius sehingga terbentuknya cadangan Pasal 314 dalam Rancangan Undang-Undang Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (RUU KUHP) yang memberi perhatian terhadap tindakan terhadap mayat, termasuk pencurian dan perbuatan tidak senonoh terhadap jenazah.

Catat Ulasan for "Kisah Sumanto: Kanibal dari Purbalingga"