Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Lima Jururawat Satu Unit Hidap Tumor Otak


     Kes lima orang jururawat yang disahkan menghidap tumor otak di Newton-Wellesley Hospital, Amerika Syarikat telah menimbulkan kebimbangan besar bukan sahaja dalam kalangan petugas kesihatan di hospital tersebut malah turut mencetuskan perbincangan meluas dalam kalangan masyarakat dan pakar perubatan. Apa yang lebih membimbangkan ialah kesemua mereka bertugas di lokasi yang sama iaitu di unit materniti yang terletak di tingkat lima hospital itu. Walaupun bekerja dalam syif yang berbeza, semua mangsa berkongsi persekitaran kerja yang serupa setiap hari. Tumor yang dialami pula bukan sebarang tumor, tetapi tumor otak. Walaupun bersifat jinak, ia tetap menimbulkan risiko kesihatan yang serius dan memerlukan rawatan intensif. 

     Seawal bulan Disember 2024, satu siasatan dalaman telah dimulakan melibatkan pasukan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalaman hospital serta agensi luar termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) dan pakar perunding alam sekitar. Mereka menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap pelbagai faktor persekitaran yang mungkin menjadi punca. Antara elemen yang diuji termasuk kualiti udara di tingkat berkenaan, kandungan serta kebersihan air, tahap radiasi termasuk sinaran daripada mesin x-ray, keberkesanan dan keselamatan sistem pengudaraan serta sistem farmasi yang berdekatan. Mereka juga menyemak semula protokol pembasmian kuman yang digunakan semasa pandemik COVID-19 memandangkan bahan kimia tertentu mungkin mempunyai kesan jangka panjang terhadap kesihatan manusia.

     Selepas beberapa minggu pemeriksaan dan analisis, laporan awal menunjukkan bahawa tiada sebarang ancaman alam sekitar yang dikesan. Semua keputusan ujian menunjukkan bacaan dalam paras selamat dan tiada pencemaran mahupun pendedahan bahan berbahaya yang melebihi tahap yang dibenarkan ditemui. Pihak pengurusan hospital mengumumkan bahawa tiada bukti menunjukkan wujudnya kaitan antara tempat kerja dan kejadian tumor otak dalam kalangan jururawat tersebut.

     Namun begitu, keputusan ini tidak diterima bulat-bulat oleh semua pihak. Kesatuan Jururawat Massachusetts (Massachusetts Nurses Association - MNA) menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap pendekatan dan hasil siasatan yang dilakukan. Mereka mendakwa siasatan tersebut tidak menyeluruh dan terlalu cepat disimpulkan. Sebagai tindak balas, MNA memulakan siasatan bebas mereka sendiri. Mereka turut membuka saluran komunikasi untuk mengumpul maklum balas daripada para jururawat dan kakitangan yang pernah atau sedang berkhidmat di hospital tersebut. Hasilnya, lebih 300 maklum balas diterima daripada individu yang menyatakan kebimbangan terhadap keadaan tempat kerja mereka termasuk kemungkinan wujudnya pendedahan kepada bahan atau faktor yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan.

     Dalam kalangan jururawat dan kakitangan hospital, pelbagai spekulasi dan teori mula berlegar. Antara yang disebut-sebut sebagai kemungkinan punca termasuklah pendedahan kepada radiasi secara berulang daripada mesin x-ray atau peralatan lain yang digunakan di jabatan berkenaan. Ada juga yang mengesyaki sistem pengudaraan yang mungkin membawa bahan pencemar dari lokasi lain ke tingkat lima. Selain itu, ada kebimbangan mengenai air yang digunakan untuk minuman atau cucian serta kemungkinan kesan daripada penggunaan topeng muka secara berterusan semasa era pandemik yang mungkin menyebabkan pengumpulan bahan kimia tertentu. Turut disebut ialah pendedahan tidak langsung kepada ubat-ubatan seperti kemoterapi yang mungkin tersebar daripada farmasi hospital berhampiran. Walau bagaimanapun, semua teori ini kekal sebagai spekulasi kerana tiada bukti saintifik kukuh yang menyokongnya buat masa ini.

     Meskipun pihak pengurusan hospital telah menegaskan bahawa semua protokol keselamatan dipatuhi dan keputusan siasatan menunjukkan keadaan persekitaran adalah selamat, keresahan dalam kalangan kakitangan masih berterusan. Pihak hospital memutuskan untuk mengadakan sesi town hall bersama kakitangan bagi memberi peluang mereka menyuarakan kegusaran dan bertanyakan soalan secara langsung. Hospital juga memberi jaminan bahawa ujian tambahan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan keselamatan para pekerja sentiasa terjamin.

Catat Ulasan for "Lima Jururawat Satu Unit Hidap Tumor Otak"