Misteri Penemuan Mayat di New England: Dibunuh Pembunuh Bersiri?
Sejak awal Mac 2025, kawasan New England yang meliputi Massachusetts, Connecticut dan Rhode Island telah digemparkan dengan satu demi satu penemuan mayat dalam tempoh yang singkat. Sehingga akhir April 2025, sejumlah lapan mayat telah ditemui di pelbagai lokasi dengan kebanyakannya melibatkan wanita. Penemuan mayat-mayat ini mencetuskan ketakutan meluas hingga mendorong orang ramai untuk mempercayai bahawa seorang pembunuh bersiri mungkin sedang bermaharajalela di rantau ini.
Penemuan terbaru berlaku pada 22 April 2025 di Springfield, Massachusetts. Seorang wanita, yang identitinya masih belum dikenal pasti ditemui tidak bernyawa berhampiran laluan basikal di Hall of Fame Avenue. Kematian ini diklasifikasikan sebagai "kematian tanpa pengawasan" dan pihak berkuasa kini sedang menunggu keputusan autopsi daripada pejabat pemeriksa perubatan untuk menentukan punca sebenar kematian. Walaupun tiada tanda-tanda kecederaan luaran yang jelas pada mayat tersebut, keadaan reput yang teruk menyukarkan analisis awal.
Sebelum ini, tiga mangsa telah dikenal pasti dalam kes-kes berlainan iaitu Paige Fannon, 35 tahun, Denise Leary, 59 tahun dan Michele Romano, 56 tahun. Dalam laporan forensik awal, kes Paige Fannon menunjukkan tiada kecederaan fizikal ketara dan punca kematian masih belum dapat dipastikan. Bagi Denise Leary, hasil autopsi menunjukkan tiada tanda-tanda jenayah tetapi penyebab kematiannya juga belum ditentukan secara rasmi. Mayat Michele Romano pula ditemui dalam keadaan reput sekaligus menghalang usaha menentukan punca kematian secara muktamad setakat ini.
Dalam satu lagi kes di Groton, Connecticut, mayat seorang wanita dikenali sebagai Suzanne Wormser ditemui berhampiran kawasan perkuburan. Dalam perkembangan siasatan, rakan serumahnya ya g bernama Donald Coffel telah ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh. Pihak berkuasa menegaskan bahawa pembunuhan ini adalah kes terpencil yang berkaitan dengan masalah peribadi antara suspek dan mangsa serta tiada kaitan dengan mana-mana kes penemuan mayat lain.
Sementara itu di Salem, Massachusetts, dua mayat lelaki ditemui di kawasan hutan berhampiran sebuah Walmart. Pihak berkuasa telah menahan Jay Blodget, seorang lelaki tanpa tempat tinggal dan mendakwanya atas dua pertuduhan membunuh. Seperti kes lain, polis menyatakan bahawa insiden ini juga adalah kes jenayah individu dan tidak ada bukti yang mengaitkannya dengan kematian lain di rantau ini.
Meskipun tiada bukti forensik atau fizikal yang menunjukkan satu pola jenayah bersiri, kebimbangan orang ramai terus meningkat terutama selepas maklumat di media sosial tersebar luas. Kumpulan Facebook bertajuk "New England Serial Killer" telah menarik lebih 65 000 ahli yang berkongsi teori, kebimbangan dan spekulasi mereka tentang kemungkinan wujudnya seorang pembunuh bersiri.

Pihak berkuasa dari ketiga-tiga negeri yang terlibat termasuk Springfield Police Department dan Hampden County District Attorney’s Office telah berulang kali menegaskan bahawa tiada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan tersebut. District Attorney Anthony Gulluni menyatakan bahawa sehingga kini tiada bukti forensik, bukti fizikal atau keterangan saksi yang menghubungkan kes-kes kematian ini. Dia juga menegaskan bahawa penyebaran spekulasi liar di internet boleh mengganggu siasatan rasmi dan menimbulkan ketakutan yang tidak berasas dalam masyarakat.
Lebih memburukkan keadaan, laporan palsu mengenai penemuan mayat baru di Scarborough, Rhode Island baru-baru ini menyebabkan pencarian besar-besaran dijalankan. Selepas siasatan, pihak polis mendapati bahawa laporan tersebut sebenarnya datang daripada individu yang sedang menulis novel fiksyen dan bukan daripada saksi yang sahih.
Dalam menghadapi situasi ini, pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk terus tenang dan menunggu keputusan rasmi daripada penyiasat. Mereka juga meminta kerjasama masyarakat untuk melaporkan sebarang maklumat sahih kepada pihak polis dan bukan berkongsi andaian atau teori tidak berasas di media sosial. Siasatan ke atas semua kes yang melibatkan penemuan mayat ini diteruskan dengan kerjasama rapat antara agensi tempatan, negeri dan persekutuan termasuk penggunaan penuh sumber forensik bagi memastikan setiap kes mendapat keadilan sewajarnya.
Sehingga kini, tiada bukti konklusif yang menunjukkan New England sedang berdepan dengan ancaman pembunuh bersiri. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa berikrar akan terus meneliti setiap kemungkinan dan memastikan keselamatan masyarakat adalah keutamaan.
Catat Ulasan for "Misteri Penemuan Mayat di New England: Dibunuh Pembunuh Bersiri?"