Patricia Stallings: Kisah Ibu yang Dituduh Membunuh Anak Sendiri Akibat Kesilapan Diagnosa

Kisah ini bermula pada bulan Julai 1989 apabila Patricia Stallings membawa anak lelakinya yang berusia tiga bulan yang bernama Ryan Stallings ke hospital di St. Louis, Missouri. Ryan mengalami muntah yang teruk serta masalah pernafasan. Ujian darah yang dijalankan oleh pihak hospital mendapati terdapat paras etilena glikol yang tinggi dalam tubuh Ryan iaitu bahan kimia beracun yang biasanya ditemui dalam cecair penyejuk enjin atau "antifreeze". Berdasarkan penemuan ini, doktor mengesyaki bahawa Ryan telah diracun secara sengaja dan kecurigaan itu segera tertumpu kepada ibunya sendiri, Patricia.

Tanpa sebarang bukti fizikal yang kukuh atau motif yang jelas, pihak berkuasa telah meletakkan Ryan di bawah jagaan perlindungan. Beberapa minggu kemudian, Patricia diberi peluang untuk melawat Ryan di hospital dalam satu sesi lawatan singkat. Anehnya selepas lawatan tersebut, keadaan Ryan bertambah buruk dan dia meninggal dunia pada 7 September 1989. Pihak pendakwa segera menggunakan fakta ini untuk menuduh Patricia telah meracun anaknya ketika sesi lawatan tersebut. Mereka berhujah bahawa Patricia menggunakan antifreeze untuk membunuh anaknya. Menggunakan bukti forensik yang dianggap mencukupi ketika itu, Patricia telah dituduh membunuh dan akhirnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Januari 1991.

Walau bagaimanapun, keadilan tidak berhenti di situ. Ketika dalam tahanan, Patricia melahirkan seorang anak lelaki kedua yang diberi nama David Jr. Pada masa beberapa minggu selepas dilahirkan, David menunjukkan simptom yang sangat serupa dengan Ryan yakni muntah, keletihan dan gangguan metabolik. Pihak hospital yang merawat David mendapati bahawa dia menghidap penyakit genetik yang sangat jarang berlaku yang dikenali sebagai methylmalonic acidemia (MMA). MMA ialah gangguan metabolik yang menyebabkan badan pesakit tidak dapat menguraikan protein dan lemak dengan betul lalu menghasilkan bahan kimia toksik seperti asid propionik dalam darah. Bahan kimia ini apabila diuji menggunakan teknik tertentu di makmal boleh disalah anggap sebagai etilena glikol.
Penemuan ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan beberapa pakar perubatan. Jika David anak Patricia menghidap MMA, maka besar kemungkinan Ryan juga menghidap penyakit yang sama dan bukannya diracun seperti yang didakwa sebelum ini. Kes ini mula mendapat perhatian umum apabila rancangan televisyen Unsolved Mysteries menyiarkan episod mengenai sabitan Patricia. Salah seorang penonton yang juga merupakan seorang profesor biokimia dari Saint Louis University, Dr. William Sly terpanggil untuk menyiasat kes ini bersama seorang lagi pakar metabolik, Dr. James Shoemaker. Mereka meminta sampel darah Ryan untuk diuji semula. Keputusan yang diperoleh sesudah itu sangat mengejutkan di mana Ryan sebenarnya menghidap MMA dan bahan yang disangka etilena glikol itu sebenarnya ialah asid propionik, hasil daripada gangguan metabolik akibat MMA.

Berdasarkan penemuan saintifik ini, kes Patricia Stallings disemak semula. Pasukan pendakwa mengakui bahawa keputusan makmal sebelum ini adalah salah tafsir dan bukannya bukti kukuh keracunan. Pada bulan Julai 1991, selepas lebih setahun dipenjarakan secara salah, Patricia akhirnya dibebaskan. Pada bulan September tahun yang sama, semua pertuduhan terhadapnya digugurkan. Walaupun Patricia akhirnya mendapat pembebasan, luka kehilangan anak dan trauma dipenjarakan sebagai pembunuh kekal menghantui hidupnya.
Menyedihkan, kes ini menunjukkan bahawa Ryan mungkin dapat diselamatkan sekiranya diagnosis tepat dilakukan lebih awal. Selain itu, peranan media dan komuniti saintifik dalam membongkar kebenaran turut memberi impak besar. Sekiranya tidak kerana penyiaran kes ini dalam Unsolved Mysteries, mungkin kebenaran tidak akan pernah terbongkar.
Catat Ulasan for "Patricia Stallings: Kisah Ibu yang Dituduh Membunuh Anak Sendiri Akibat Kesilapan Diagnosa"