Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Rakaman CCTV Dedah Tindakan Tidak Bermoral Doktor di Garut


     Pada pertengahan bulan April 2025, masyarakat Indonesia dikejutkan dengan satu kes membabitkan seorang doktor kandungan yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pesakit wanita semasa sesi pemeriksaan kesihatan. Kes ini berlaku di Klinik Karya Harsa, Garut, Jawa Barat dan menjadi perhatian nasional apabila rakaman kejadian tersebut tersebar luas di media sosial.

    BDoktor yang terlibat dikenal pasti sebagai MF, seorang lelaki muda yang merupakan alumni Program Pendidikan Doktor Spesialis (PPDS) Universitas Padjadjaran (Unpad). Dia dipercayai telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai profesional perubatan untuk melakukan perbuatan tidak bermoral terhadap pesakit yang sepatutnya dilindungi di bawah etika perubatan dan prinsip kepercayaan antara doktor dan pesakit.

     Menurut laporan pihak berkuasa dan penjelasan beberapa sumber, kejadian berlaku pada 20 Jun 2024 ketika seorang pesakit wanita hadir ke klinik tersebut bagi menjalani pemeriksaan ultrasonografi (USG). Dalam video CCTV yang menjadi bukti utama, MF dilihat melakukan sentuhan tidak wajar terhadap bahagian sulit pesakit dengan alasan sedang menjalankan pemeriksaan.


     Namun tindakan tersebut dilaporkan dilakukan tanpa kebenaran pesakit dan di luar prosedur perubatan yang sepatutnya. Pesakit yang berasa terganggu dan tidak selesa kemudiannya membuat aduan lalu memicu penyiasatan lebih lanjut. Rakaman CCTV tersebut kemudiannya tersebar di media sosial pada April 2025 sekaligus mencetuskan kemarahan orang ramai.

     Polres Garut segera bertindak setelah rakaman video tersebar. Pasukan khas penyiasatan telah ditubuhkan untuk menyiasat kes tersebut dengan lebih mendalam. Pada 15 April 2025, doktor MF ditahan secara rasmi oleh pihak polis dan kini sedang disoal siasat. Menurut pihak berkuasa, sehingga kini terdapat sekurang-kurangnya dua orang wanita yang didakwa menjadi mangsa kepada doktor tersebut. Walau bagaimanapun, kedua-duanya belum membuat laporan polis rasmi dan siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan lebih banyak keterangan serta mengenal pasti sama ada terdapat mangsa lain. Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polres Garut memaklumkan bahawa pihak mereka sedang meneliti semua rekod CCTV dari klinik tersebut serta mengambil keterangan saksi-saksi, termasuk kakitangan dan pesakit lain. 

     Universitas Padjadjaran (Unpad) selaku institusi yang pernah melahirkan MF sebagai doktor pakar turut mengeluarkan kenyataan rasmi. Pihak universiti menzahirkan rasa kecewa dan memandang serius insiden tersebut sambil menegaskan bahawa tindakan seperti itu bukan sahaja mencemarkan nama institusi, malah melanggar prinsip etika dan sumpah profesi perubatan. Kementerian Kesihatan Indonesia (Kemenkes) pula segera mengambil tindakan dengan meminta Konsil Kesehatan Indonesia (KKI) untuk membekukan sementara Surat Tanda Registrasi (STR) milik MF. Langkah ini diambil bagi mengelakkan MF daripada terus menjalankan sebarang amalan perubatan sehingga siasatan selesai dan keputusan perundangan ditetapkan.

     Di media sosial, ramai pengguna mengecam tindakan MF dan menggesa agar hukuman setimpal dikenakan sekiranya beliau didapati bersalah. Buat masa ini, doktor MF masih dalam tahanan pihak polis sementara menunggu siasatan selesai dan tindakan undang-undang diambil. Jika disabitkan kesalahan, dia boleh berdepan hukuman berat di bawah undang-undang jenayah Indonesia yang berkaitan dengan serangan seksual dan penyalahgunaan kuasa.

Catat Ulasan for "Rakaman CCTV Dedah Tindakan Tidak Bermoral Doktor di Garut"