YouTuber Amerika Ditahan Selepas Ceroboh Pulau Larangan Sentinel

Nama Mykhailo Viktorovych Polyakov telah menjadi perhatian antarabangsa selepas tindakannya yang dianggap berani dan berbahaya apabila dia menceroboh salah satu tempat paling terpencil dan larangan di dunia, Pulau North Sentinel, India. Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang malah berisiko menjejaskan nyawa satu suku purba yang dikenali sangat anti-perhubungan luar iaitu suku Sentinelese.
Mykhailo Polyakov merupakan seorang YouTuber berusia 24 tahun dari Scottsdale, Arizona, Amerika Syarikat. Polyakov memiliki saluran YouTube di mana dia terkenal kerana meneroka lokasi-lokasi ekstrem dan membuat video berkaitan pengalaman unik di kawasan terpencil termasuk kawasan perang dan tempat yang sukar diakses. Dalam satu video lamanya, Polyakov pernah dilihat bergambar bersama anggota Taliban sekaligus menimbulkan banyak kontroversi di media sosial. Dia digambarkan sebagai seorang yang berani, gila publisiti dan gemar mengejar keterujaan di tempat yang tidak dijelajahi ramai.

Pada 31 Mac 2025, Polyakov dilaporkan telah menyelinap masuk ke North Sentinel dengan menaiki bot tiup dari kawasan berhampiran di Kepulauan Andaman dan Nicobar, India. Dia melakukan perkara ini secara haram tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan. Misi Polyakov adalah untuk mendekati suku Sentinelese dan "menjalin hubungan" dengan mereka yakni sesuatu yang dilarang keras oleh kerajaan India.
Demi tujuan ini, dia membawa beberapa barang yang dianggap sebagai hadiah seperti sebiji kelapa, satu tin Diet Coke dan sehelai sapu tangan. Ketika berada di tepi pantai, Polyakov meniup wisel selama hampir sejam untuk cuba menarik perhatian penduduk pulau tersebut, namun tidak menerima sebarang balasan. Pada masa itu, dia juga sempat merakam video, mengambil sampel pasir dan meninggalkan hadiah yang dibawanya. Polyakov tidak mendekati hutan atau memasuki lebih jauh ke dalam kawasan habitat suku tersebut kerana menyedari risikonya. Selepas sejam, dia kembali semula ke botnya dan meninggalkan pulau tersebut.
Sejurus selepas kembali ke tanah besar, Polyakov telah ditangkap oleh pihak berkuasa India. Kesalahannya adalah menceroboh kawasan larangan di bawah peruntukan Akta Perlindungan Suku Asli India. Kerajaan India telah melarang sebarang bentuk hubungan dengan suku Sentinelese untuk menjaga keselamatan kedua-dua belah pihak. Ini kerana suku ini sangat terasing dan tidak mempunyai daya ketahanan terhadap penyakit moden. Sebarang sentuhan fizikal boleh membawa maut kepada mereka.

Polis menyatakan bahawa ini bukan cubaan pertama Polyakov. Dia dipercayai telah dua kali cuba mendarat di pulau tersebut sebelum ini, pada Oktober 2024 dan Januari 2025 tetapi gagal akibat cuaca buruk dan kawalan keselamatan. Namun kali ketiga ini membuahkan hasil, sekaligus menjadikannya antara segelintir orang moden yang berjaya mendarat di sana walaupun hanya seketika.
Polyakov kini direman selama 14 hari sementara siasatan dijalankan. Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 17 April 2025. Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 5 tahun dan denda mengikut undang-undang India.
Tindakan Polyakov segera menerima kecaman daripada pelbagai pihak terutamanya aktivis hak asasi dan ahli antropologi. Ramai melihatnya sebagai tidak bertanggungjawab dan mementingkan kandungan media sosial tanpa memikirkan risiko kepada komuniti yang telah dilindungi sekian lama. Ada juga yang membandingkan kes ini dengan insiden tragis pada tahun 2018 apabila seorang mubaligh Kristian Amerika, John Allen Chau telah dibunuh oleh suku Sentinelese ketika cuba masuk ke pulau tersebut untuk menyebarkan ajaran agama. Dalam kes itu, Chau tidak sempat keluar hidup-hidup. Polyakov, bagaimanapun bernasib baik kerana tidak diapa-apakan. Artikel terdahulu tentang Allen Chau boleh baca di sini : Kisah Tragis Kematian Allen Chau
Catat Ulasan for "YouTuber Amerika Ditahan Selepas Ceroboh Pulau Larangan Sentinel"